24 November 2009

Tuhan sembunyi hikmah ibadat untuk uji ketaatan (Oleh Yussamir Yusof)

0 ulasan
ALLAH tidak mensyariatkan sesuatu tanpa kebaikan dan manfaat kepada hamba-Nya, sebagaimana Dia tidak menciptakan sesuatu dengan main-main dan dengan cara yang batil.

Firman Allah, "... (Iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksaan api neraka." - (Ali-Imran: 191)


 

Namun di setiap kejadian dan ciptaannya tersembunyi pelbagai rahsia dan hikmah yang sukar untuk dilihat secara mata kasar dan akal logik. Hikmah di atas ciptaannya hanya dapat dilihat secara umum tanpa penjelasan secara terperinci.

 

Misalnya solat, manusia tidak akan mengetahui hikmah dan kebaikannya secara terperinci. Bermula dengan hukum solat, rukunnya dan sudah pasti setiap pergerakannya juga kita tidak akan dapat mengetahuinya dengan lebih lanjut. Malahan pelbagai persoalan dan pertanyaan yang akan timbul untuk memuaskan akal.

"Mengapa solat perlu lima kali sehari?" "Mengapa ada perbezaan rakaat untuk setiap jenis solat?" "Mengapa solat Subuh di awal pagi?"

 

Mengapa dan terus mengapa. Akal sentiasa mencari jawapan di atas perintah ibadat yang disyariatkan Allah. Namun semua jawapan yang diberi berdasarkan kefahaman akal, ia tidak akan memuaskan sampai bila-bila. Hikmah adalah rahsia Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

 

Bagaimanapun, Allah menjelaskan hikmah itu secara umum di dalam al-Quran. Misalnya hikmah disyariatkan solat.

Firman Allah; "Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat yang lain)." (Al-Ankabut: 45)


Hikmah disyariatkan membayar zakat;

Firman Allah: "Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka." (At-Taubah: 103)


 

Timbul persoalan, mengapa Allah menyembunyikan hikmah di atas ibadah yang disyariatkan-Nya. Ulama menjelaskan bahawa hikmah ini disembunyikan sebagai satu cubaan kepada hamba-Nya. Allah mencuba hamba-Nya dengan ibadah yang manusia tidak mengetahui sedikitpun mengenai hikmah pensyariatannya. Dengan cubaan ini, terlihatlah siapa yang benar-benar mengikuti perintah Allah dan ajaran Rasulullah, dan siapa pula yang derhaka dan menolaknya.

 

Andai kata hikmah ibadah tidak dirahsiakan dan akal dapat memahaminya dengan mudah, sudah pasti, manusia hanya akan beribadah kepada Allah jika sesuatu ibadah itu sesuai dengan rasional akalnya yang terbatas, dan akan mengingkari jika sesuatu ibadah itu tidak sesuai dengan akalnya. Dan ini akan membuatkan manusia menyembah akal bukannya Allah yang mencipta mereka.

 

Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya al-Ibadah fi al-Islam menyatakan:

"Bukanlah menjadi keharusan bahawa ibadah yang disyariatkan itu perlu ada manfaat dalam kehidupan manusia dari segi material. Malahan bukan juga sesuatu yang mesti sesuatu ibadah itu boleh difahami akal yang terbatas. Ibadah adalah ujian bagi ketaatan manusia kepada Tuhannya. Jadi, jika akal dapat mengetahui rahsia ibadah secara terperinci, maka ia tidaklah dapat memberi manfaat dan makna kepada manusia terhadap konsep ibadah dan taat kepada Tuhan."


Cukuplah seseorang mukmin mengetahui hikmah ibadah itu secara umum, dan meyakini bahawa setiap ibadah itu adanya manfaat dan hikmah yang tersendiri. Allah tidak pernah memerlukan ibadah para hamba-Nya, tetapi Allah mencipta ibadah adalah semata-mata untuk kebaikan dan manfaat hamba-Nya.

 

Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertakwa umpama hati orang yang paling bertakwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang cacatkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku." (Hadis Imam Muslim)


 

Banyaknya rahsia alam semesta yang tidak mampu manusia khususnya saintis menemuinya, begitu banyak juga rahsia ibadah yang tidak terjangkau oleh akal. Hal ini sebenarnya membuatkan tumbuhnya rahsia rindu manusia kepada rahsia yang tersembunyi, dalam masa sama membuatkan manusia insaf dan sedar mengenai kelemahan dirinya sendiri.

 

Sudah ramai manusia tersesat kerana sengaja mencari rahsia hikmah dalam setiap perkara yang disyariatkan dalam ibadah. Apabila mereka tidak menemui rahsia itu kerana akal yang terbatas, mereka mula berasa ragu-ragu di atas kepercayaan yang ada dan kemudian menjadi sesat.

 

Al-Imam Ghazali dalam kitabnya Al-Munqidz min adh-Dhalal berkata,

"Maka sesungguhnya suatu kebodohan sesiapa saja yang mencari hikmah yang ada di sana, atau orang yang mengatakan bahawa ibadah itu dilakukan secara kebetulan dan tidak ada rahsia Allah di dalamnya."


 

Oleh sebab itu, perbuatan mencari hikmah dalam ibadah dengan secara terperinci sehingga dapat memuaskan akal adalah perbuatan yang salah dan keliru. Berpuas hatilah dengan keterangan umum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran, kemudian sama-sama kita katakan, "Kami dengar dan kami taat."

 

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20091123235529/Article/index_html

Keupayaan berdakwah secara maya masih terhad (oleh Najahudin Lateh)

0 ulasan
Fobia kepada teknologi, kurang tenaga jejas usaha penyampaian ilmu Islam dalam internet

 

DAKWAH adalah usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu. Galakan untuk berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam. Begitu juga Islam sebagai agama yang fleksibel tidak mengehadkan pendakwah untuk menggunakan kaedah tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat.

 

Dakwah talian terus online adalah kaedah dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu secara fizikal dengan mad'u. Dakwah ini biasanya berlaku melalui internet ataupun komunikasi lain seperti telefon bimbit. Dakwah kaedah ini tidak mensyaratkan seorang pendakwah itu mahir dalam komunikasi atau mempunyai ilmu Islam banyak. Malah, sesiapa saja boleh menjadi pendakwah. Yang penting dalam dakwah online adalah bahan dakwah bukannya siapa yang menyiarkannya.

Walaupun begitu, dakwah maya sebegini juga mempunyai pelbagai cabaran dan hambatan tertentu. Kita perlu mengakui internet sebagai lebuh raya maklumat berakar umbi di dunia Barat. Ia tidak terlepas daripada nilai, falsafah dan gaya hidup mereka di sana. Justeru, proses penyaringan input yang diperoleh perlu dibuat sebelum penyebarannya kepada umum. Kadang-kadang maklumat dan bahan yang terdapat dalam internet sebenarnya dihasilkan oleh orientalis, pengembang agama dan musuh Islam untuk mengelirukan dan memecahbelahkan umat. Kaedah asas dengan merujuk sumber primer dan sekunder seperti al-Quran, hadis dan karya ulama perlu dilakukan. Ini belum dikira hambatan luaran seperti kemunculan pelbagai fikrah, ideologi, dakyah palsu, sebaran fitnah, gambar atau video pornografi di alam maya.

 

Dari aspek pendakwah, sebenarnya ramai yang masih takut dan fobia kepada teknologi. Kekurangan tenaga ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha penyampaian ilmu Islam di internet yang secara realitinya masih dikuasai dengan bahan yang tidak bermanfaat. Ini ditambah dengan kurangnya pendakwah yang boleh menguasai bahasa Inggeris menyebabkan dakwah kita terpinggir dan masih di kandang sesama kita. Lebih malang, anggapan bahawa dakwah kerja eksklusif ustaz serta ulama saja dan bukannya setiap individu Muslim masih wujud di sanubari umat Islam.

 

Ada pelbagai aplikasi boleh digunakan dalam dakwah online melalui internet. Antara yang popular adalah melalui e-mel (seperti Yahoo! Mail dan Gmail), laman sembang (seperti Yahoo! Messenger, ICQ dan Skype), diskusi kumpulan (seperti Yahoogroups dan Googlegroups) dan laman web. Selain itu, bahan ceramah, kuliah atau simulasi Islam boleh dikongsi dan disalurkan ke seluruh dunia secara audio atau video. Webtv sebagai contohnya begitu popular di kalangan remaja sekarang. Laman webtv seperti youtube.com, metacafe.com dan video.google.com sangat mudah digunakan dan yang penting ia boleh digunakan percuma.

Ada pelbagai bentuk laman web dakwah dalam internet. Ada berbentuk web portal dan forum perbincangan Islam, namun kebanyakannya dalam bentuk weblog. Di Malaysia, laman web dakwah agak berkurangan, terutama yang mengandungi kandungan isinya dalam Bahasa Inggeris. Secara umum, laman web dakwah di Malaysia biasanya diuruskan individu dan berbentuk weblog. Namun, kebanyakan weblog itu dibina di atas tapak web secara percuma seperti blogger.com (blogspot) dan wordpress.com. Hanya sedikit saja menggunakan tapak berbayar.

 

Realitinya, hasil penelitian melalui laman alexa.com menunjukkan tiada satu pun laman web berbentuk dakwah atau elemen Islam yang tersenarai dalam 100 laman web popular di Malaysia. Hanya lima laman web disenaraikan paling popular di Malaysia ialah iluvislam.com (kedudukan 373 di Malaysia), islam.gov.my (1,270), zaharuddin.net (1,254), saifulislam.com (1,386) dan halaqah.net (2,706). Malah, laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seharusnya dipuji kerana ia satu-satunya laman web di Malaysia, malah di dunia yang beroperasi dalam empat bahasa, iaitu Melayu, Inggeris, Arab dan Cina.

 

Hakikatnya, dakwah melalui internet dan secara online mempunyai potensi yang besar. Namun, keupayaan umat Islam di negara ini untuk memaksimumkan penggunaan medium ini masih kurang. Seharusnya mulai sekarang semua pendakwah Islam mempunyai laman web atau weblog sendiri yang beroperasi secara aktif, menarik dan mudah diakses. Institusi dakwah Islam juga mesti sentiasa kemas kini dengan maklumat dan interaksi kepada isu Islam semasa. Jika ini dibuat, nescaya aktiviti dakwah semakin maju dan meluas ke seluruh dunia.

 

INTI PATI
  • Islam tidak mengehadkan pendakwah untuk menggunakan kaedah tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat.

  • Dakwah melalui internet dan secara online mempunyai potensi yang besar, namun kekurangan tenaga ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha penyampaian ilmu Islam di internet.Penulis ialah pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan boleh dihubungi e-mel, najahudin@salam.uitm.edu.my


 

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20091122225919/Article/index_html

16 November 2009

Antara Anjing & Wanita..

0 ulasan
Sumber: note fb A.Zul

ASSALAMUALAIKUM SEMUA.

Sekadar untuk berkongsi bersama.

BILA ANJING MENGELUH...
LEMBU: Hai anjing, apa habaq? Macam ada yang tak kena je?
ANJING: Aku tengah tension nih. Mau je aku gigit manusia tadi.

LEMBU : Eh? Kenapa?
ANJING: Aku lalu tepi dua orang manusia lelaki dan perempuan yang sedang berkepit. Tetiba si lelaki terperanjat dan terus melompat dan berkata "hoi anjing, pergi jauh-jauh, najis!".

LEMBU: Ya, lah. Ko kan haram. Najis tahap berat bagi manusia.Biasalah tu.
ANJING: Kalau aku najis sekalipun, kalau dia tersentuh aku, boleh disamak. Yang dia sentuh dan raba-raba awek dia tu apa? Boleh ke nak samak dosa?

LEMBU: Betul tu. Memegang wanita yang bukan mahramnya tanpa ikatan yang sah, lebih dahsyat kenajisannya daripada memegang ko anjing, malah tak boleh suci sekalipun disamak.
ANJING: Wah... ayat ko memang power la. Manusia kena ubah pepatah "Pandai macam LEMBU"

Daripada satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Majah menyatakan bahawa : "Bergomolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram".

Bersentuhan (dengan sengaja & apatah lagi bertujuan syahwat) adalah berdosa dan wajib bertaubat (bagi membersihkan dosa). Sedangkan menyentuh anjing tidaklah berdosa dan hanya perlu disuci (bukan bertaubat). Menyentuh anjing bukanlah satu kesalahan (dosa) atau maksiat, tetapi menyentuh wanita bukan mahram adalah berdosa dan merupakan maksiat.

Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".
(Surah Zumar: 9)

"Lahirnya manusia disambut dengan azan... matinya manusia diiringi solat... antara azan & Solat ... alangkah singkatnya hidup ini"

(sila sebarkan artikel ni)