Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

16 April 2012

SOLAT - BEKALAN DALAM KEHIDUPAN

0 ulasan
slot MUKMIN PROFESIONAL @ IKIM.fm 16-APRIL-2012
(bersiaran setiap Isnin jam 5.15 - 6 petang)
Penyampai :- USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI-

Slot Mukmin Profesional petang tadi bersama Ust. Pahrol & DJ Norhayati [foto sumber IKIM.fm]

Muqaddimah :
  • Husnudzhan (bersangka baik) pada Allah
  • Kepedihan hari ini = Allah didik kita dengan kesabaran
  • Keceriaan, kemudahan &  keindahan = Allah didik kita dengan kesyukuran
Kenapa kita solat?
  • Kita bukan sahaja perlu tahu solat, tapi perlu tahu kenapa perlu solat
  • Dalam perjalanan hidup, beban bertambah, tenaga berkurangan
  • Kalau tiada bekalan > cepat letih walau tahu tempat perhentian
  • Solat :
    • Bekalan rohani
    • Talian hayat dengan Allah, jika tidak, kita umpama layang-layang terputus talinya
    • Hubungan dengan Allah -> Allah akan jaga kita jika kita jaga hubungan denganNya (dengan bersolat)
    • Tiang agama (deen = the way of life = sistem hidup; ekonomi, etc)
  • Berleluasanya maksiat & jenayah -> indikator solat 'tidak selesai'
  • "Untuk baiki dunia > baiki manusia > baiki hatinya > baiki solatnya"
  • kerana solat dapat cegah fahsyar & mungkar
  • Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah telah bertanya kepada Rasulullah   , “Bagaimana keadaan orang yang mengerjakan solat tetapi masih mencuri?”. Rasulullah   menegaskan: “Solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri.” “Tetapi kalau orang itu masih jahat juga setelah mengerjakan solat, bagaimana?”. “Itu yang saya katakan, dia perlu memperbaiki mutu solatnya. Perbaiki solatnya .. bila solat dah baik, insyaAllah orang itu akan jadi baik.”
  • Saidina Umar al-Khattab memilih pegawai-pegawai yang menjaga solatnya
    • --sesiapa yang menjaga solat, dia akan menjaga amalan Islam yang lain. Jika tidak, dia akan meminggirkan hukum-hukum Allah yang lain (tidak integriti, tak rajin)--
  • "Cara terbaik mengekalkan keamanan ialah sentiasa bersiap sedia untuk berperang" (sentiasa dilatih)
    • kita berperang setiap hari dengan syaitan (musuh yang tak pernah tidur, paling konsisten) & nafsu
    • hakikatnya kita kumpul kekuatan semasa solat!!
  • Syaitan pun ciptaan Allah, jika kita dekat dengan Allah, kita dapat berlindung dengan Allah daripada gangguan syaitan
  • "When God is your friend, who is your enemy?"
  • Bila dekat dengan Allah, dekat dengan kekayaan (Al-Ghaniy), maka rapat dengan kebahagiaan & kelembutan (Al-Latif), rapat dengan kemuliaan (Al-Karim).. = KEJAYAAN ! (HAYYA 'ALAL FALAH)
    • kejayaan yang holistik (batiniah + maknawi)
    • Surah Al-Mukminun Ayat 1-2 : "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.."


SESI SOAL JAWAB

Q1 : Cara lawan syaitan dengan solat?
J1 :-
  • Musuh lahiriah vs. Musuh Batiniah :
    • contoh musuh lahiriah ; yahudi zionis. Untuk melawannya ada yang bakar bendera Israel / boikot barangannya .. yang itu kita boleh nampak..
    • contoh musuh batiniah ; berat untuk bangun subuh, hatta untuk mengangkat selimut.. 
    • *Maka yang manakah musuh yang lebih besar?
  • Syaitan tak dapat tewaskan manusia yang ikhlas (antivirus)
  • Jangan menanti untuk ikhlas, tetapi carilah (usaha) untuk ikhlas
  • Ilmu tauhid - untuk penghayatan - titipkan dalam hati (berdasarkan kuliah beliau dalam slot terdahulu)
  • Baca Surah An-Nas sebelum solat (+ ta'awwuz)
  • Metafora : Bila bertembung dengan anjing, ia menyalak & ingin menyerang, kita tak dapat berlawan terus dengan ia, jadi kita mesti berhadapan dengan tuan anjing tersebut, ia akan lari..
    • *seperti jua syaitan, kita tak dapat lawan terus dengannya, maka kita perlu kekuatan dari pencipta, yakni Allah
  • Orang yang solat - sentiasa berhubung dengan Allah
  • Hati akan dapat kekuatan (rebutan antara malaikat dengan syaitan) -hati berbolak balik
  • Ilmu + iman + amal + taqwa (4 lingkungan yang saling berkait) >> menuju taqwa (kekuatan kita)

Q2 : Jika tertinggal solat?
J2 :-
  • Wajib qada' setakat yang mampu (kerana itu hutang kita dengan Allah)
  • Rasa bersalah meninggalkan solat tapi tak ganti-ganti? maknanya masih belum benar-benar rasa bersalah
  • Love is not only a noun, but a verb (to be acted upon). Rasa bersalah / cinta akan mengarahkan pancaindera untuk melaksanakan apa yang tertinggal / diperintahkan

Q3 : Solat itu terjemahan dalam kehidupan (tersirat)?
J3 :-
  • Hubungan antara solat dengan kehidupan / kehidupan dengan solat
  • Mendirikan solat (bukan mengerjakan) >> bukan sahaja menegakkan tuntutan Allah dalam solat itu (tindakan perbuatan hati), tetapi bagaimana kita membawa keluar roh solat itu ke dalam kehidupan
  • Khusyuk >> umpama roh dalam badan kita >> menjadikan solat itu 'hidup' (persembahkan pada Allah yang 'hidup', bukan 'bangkai')
  • Kepatuhan akan beri impak di luar solat kita, semua anggota, pancaindera akan patuh..
    • contoh : takbir dengan AllahuAkbar, tak boleh diubah dengan kalimah lain walaupun baik..
  • Dalam solat ada 3 fokus
    • 1. Mata - tempat sujud
    • 2. Dada - hadap qiblat
    • 3. Hati - mengingati Allah
  • Kita belajar fokus dari solat, maka akan fokus dalam pekerjaan lain, InsyaAllah
  • Waktu sujud kita paling hampir dengan Allah
  • Bawa semua sistem hidup kita sujud pada Allah ;
    • sistem ekonomi - tiada riba'
    • sistem hiburan - 
  • Jadikan tempat kerja sebagai 'sejadah' (gelanggang ibadah selain solat yang wajib)

Q4 : Jarang solat ketika terlantar sakit?
J4 :-
  • Berpunca dari sakit hati (hati yang sakit)
  • Ada yang sihat tubuh badan tetapi sakit hatinya
  • Lebih malang, sakit tubuhnya, sakit jua hatinya
  • Excuse : hanya jika TERlupa dan TERtidur sahaja (ketika ingat & terjaga tetap perlu qada')
  • Keperluan hati untuk ingat Allah agar hati tidak mati, jika tidak... ;
    • kayanya tak berbuat apa, malah semakin alpa
    • miskinnya menderita

Q5 : Petua tidak tinggalkan solat?
J5 :-
  • Psikologi - ada 2 perkara / sebab kita tidak melakukan sesuatu
    • 1. Tidak benar-benar inginkan
    • 2. Tidak membayar harga yang sepatutnya
  • Rasa perlu bertuhan menjadikan seseorang itu bersolat..
  • Tak rasa perlunya bertuhan - orang yang rasa dirinya Tuhan
  • Tertinggal handphone rasa resah, bagaimana dengan solat?

KESIMPULAN
  • Solat sangat penting dalam kehidupan
  • Kemungkaran terbesar = meninggalkan solat (umpama membakar diri & orang sekitarnya)
  • Kembali pada Allah dengan rasa perlunya bertuhan..
  • Allah diperlukan dalam apa jua keadaan
  • Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu


09 December 2009

Tajdid Iman : Kenikmatan hidup bermula dengan Ibadah (oleh Dr. Juanda Jaya)

0 ulasan
 

BERIBADAHLAH ke jalan Allah untuk mencari ketenangan jiwa dan tanda kita mensyukuri nikmat pemberian-Nya.

 

Manusia bersedih, putus asa apabila ditarik nikmat, namun ia dugaan memperkukuh iman

 

NAFSU manusia tidak mungkin berhenti pada satu noktah kepuasan dalam mencari kesenangan. Setelah menikmati nafsu yang pertama, dia memburu nafsu kedua lalu yang ketiga dan seterusnya tanpa henti melainkan dengan izin Allah SWT.

 

Apabila dia tidak dapat mencapai hasrat nafsunya, dia pun bersedih dan putus asa, menangis dan meratapi kenikmatan yang hilang padahal Allah SWT menahan nikmat itu bukan kerana Allah bakhil tetapi Allah amat menaruh belas kasihan kepadanya.

 

Supaya dia tidaklah dilalaikan dengan nafsu kerana nikmat yang dicurah selama ini, nyata membuat hatinya keras dan semakin terseleweng dari jalan Allah. Dunia yang dilihat semata-mata nikmat padahal mengandungi ujian berat bagi mereka yang sedar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu tujukan kedua mata mu kepada apa yang telah kami berikan kepada golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk kami uji mereka dengannya dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal." (Surah Taha ayat: 131)."


 

Setelah memahami hakikat bahawa diri kita tidak pernah puas dengan apa yang dikejar, akhirnya kesedaran itu lahir daripada jasad yang telah lelah, hati yang gelisah dan jiwa yang terdera oleh kesibukan mencari nikmat. Seseorang tidak akan sampai kepada ketenangan jiwa melainkan dirinya berada pada suasana ibadat sepanjang masa. Seluruh perbuatannya dilakukan kerana Allah, bersama Allah dan untuk Allah ketika mencari nafkah, bergaul dengan manusia bahkan dalam perkara mubah sekalipun hendaknya kehadiran Allah sentiasa dirasai.

 

Orang mukmin juga mempunyai hawa nafsu, dia tidak pernah terlepas daripada pergolakan nafsunya. Kadang-kadang dia menang dan ada kalanya dia kecundang, begitulah sifat manusia yang memang lemah dan amat memerlukan petunjuk dari-Nya. Jika Allah SWT mengasihi orang mukmin maka Dia menunjukkan jalan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

 

Dibukakan aibnya sedikit untuk sekadar ingatan dan diujinya dengan musibah sebagai peringatan. Kemudian dituntun hati orang yang dikasihi-Nya ke lembah hijau tempat ranumnya iman, demi mengubati kegelisahannya itu dicurahkanlah mata air jernih ilmu dan makrifat, ditolong supaya hamba-Nya itu bangkit mengabdikan diri kepada-Nya. Begitulah rahmat Allah SWT kepada orang mukmin.

 

Adakalanya setiap mukmin merasai kerasnya hati, malas beribadah dan longgarnya rasa pengawasan Allah ke atas dirinya. Semua itu pasti dirasai sesiapa yang bermujahadah di jalan Allah. Sepatutnya kita bersyukur kerana cepat mengenal diri saat terlangar larangan Allah atau terlupa suruhan-Nya. Kenal dengan sifat-sifat dosa dan maksiat yang mencemari hati. Kemudian berusaha mengganti kelalaian itu dengan semangat ibadah dalam kehidupan.

 

Rasulullah SAW bersabda:

"Bertakwalah kepada Allah di mana pun kamu berada, ikutilah perbuatan buruk itu dengan kebaikan sesungguhnya kebaikan akan menghapus keburukan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis Hasan Riwayat Al-Tirmizi).


 

Semangat ibadah sentiasa timbul dan tenggelam di jiwa mukmin, untuk memastikan seorang mukmin tetap istiqamah perlu dihadirkan suntikan motivasi yang mencergaskan jiwanya untuk beribadah kepada Allah SWT.

 
  • Ibadah tanda mensyukuri nikmat.

    Kita sering melipatgandakan ibadah pada masa tertentu kononnya Allah memberi rezeki yang banyak atau kejayaan dalam bidang diceburi, maka kita amat bersungguh-sungguh mengingati jasa Allah. Menjemput saudara mara ke doa selamat, membaca Yasin, sembahyang berjemaah, memberi makan anak yatim dan bersedekah. Malangnya ada manusia apabila tidak menerima nikmat daripada Allah, mereka hilang semangat beribadah.

    Padahal nikmat Allah tidak semestinya berupa harta benda, kejayaan dan kecemerlangan hidup bahkan nikmat yang paling bernilai adalah dijauhkan kita daripada musibah yang menimpa kita, anak-anak dan keluarga. Jika setiap hari kita mendengar berita jenayah, tidakkah kita bersyukur kepada Allah kerana terhindar daripada musibah dengan perlindungan-Nya?

    Orang yang memahami hakikat bersyukur akan menemui di dasar hatinya bahawa tiada nikmat yang lebih besar selain menjadi orang mukmin yang diredai Allah SWT. Kerana itulah kita bersujud dan menuai amal salih setiap masa kerana jasa baik Allah ke atas kita.

    Rasulullah SAW bersabda ketika bersembahyang tahajjud di bilik Aisyah walaupun kaki baginda sakit, baginda bersabda: "Afala uhibbu an akuuna abdan syakuran?"(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari Muslim)


 
  • Ibadah tanda percaya janji Allah.

    Kitab-kitab yang menerangkan fadhilat ibadah wajib dan sunat sudah banyak diringkaskan daripada kumpulan hadis-hadis Nabi yang sahih, doa-doa Nabi yang maktsur juga menjadi keutamaan kerana ganjaran yang dikhabarkan. Ia diharapkan menjadi berita gembira yang didahulukan khabarnya di dunia, tanda kecintaan Allah kepada hamba-Nya dan Maha benar Allah atas segala janji-janji-Nya. Apabila hati keras dan jiwa menjadi malas, ubatilah ia dengan bacaan Al-Quran dan hadis sahih yang mengandungi unsur pujukan dan motivasi untuk mempertingkatkan iman dan amal kita di sisi Allah.


 
  • Ibadah tanda mengutamakan Allah.

    Apapun kesibukan yang membelenggu orang mukmin, hatinya tetap milik Allah. Tiada yang lebih penting daripada menjaga apa-apa yang diwajibkan-Nya dan juga amalan yang sunat. Apabila waktu berhibur dan bermain berlebihan berbanding waktu beribadah dan bekerja hendaklah disoal hati yang lalai itu mengenai siapakah sepatutnya yang lebih diutamakan?

    *Penulis ialah Mufti Perlis, kini menjadi tamu pusat kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom


 

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20091207225315/Article/index_html

24 November 2009

Tuhan sembunyi hikmah ibadat untuk uji ketaatan (Oleh Yussamir Yusof)

0 ulasan
ALLAH tidak mensyariatkan sesuatu tanpa kebaikan dan manfaat kepada hamba-Nya, sebagaimana Dia tidak menciptakan sesuatu dengan main-main dan dengan cara yang batil.

Firman Allah, "... (Iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksaan api neraka." - (Ali-Imran: 191)


 

Namun di setiap kejadian dan ciptaannya tersembunyi pelbagai rahsia dan hikmah yang sukar untuk dilihat secara mata kasar dan akal logik. Hikmah di atas ciptaannya hanya dapat dilihat secara umum tanpa penjelasan secara terperinci.

 

Misalnya solat, manusia tidak akan mengetahui hikmah dan kebaikannya secara terperinci. Bermula dengan hukum solat, rukunnya dan sudah pasti setiap pergerakannya juga kita tidak akan dapat mengetahuinya dengan lebih lanjut. Malahan pelbagai persoalan dan pertanyaan yang akan timbul untuk memuaskan akal.

"Mengapa solat perlu lima kali sehari?" "Mengapa ada perbezaan rakaat untuk setiap jenis solat?" "Mengapa solat Subuh di awal pagi?"

 

Mengapa dan terus mengapa. Akal sentiasa mencari jawapan di atas perintah ibadat yang disyariatkan Allah. Namun semua jawapan yang diberi berdasarkan kefahaman akal, ia tidak akan memuaskan sampai bila-bila. Hikmah adalah rahsia Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

 

Bagaimanapun, Allah menjelaskan hikmah itu secara umum di dalam al-Quran. Misalnya hikmah disyariatkan solat.

Firman Allah; "Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat yang lain)." (Al-Ankabut: 45)


Hikmah disyariatkan membayar zakat;

Firman Allah: "Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka." (At-Taubah: 103)


 

Timbul persoalan, mengapa Allah menyembunyikan hikmah di atas ibadah yang disyariatkan-Nya. Ulama menjelaskan bahawa hikmah ini disembunyikan sebagai satu cubaan kepada hamba-Nya. Allah mencuba hamba-Nya dengan ibadah yang manusia tidak mengetahui sedikitpun mengenai hikmah pensyariatannya. Dengan cubaan ini, terlihatlah siapa yang benar-benar mengikuti perintah Allah dan ajaran Rasulullah, dan siapa pula yang derhaka dan menolaknya.

 

Andai kata hikmah ibadah tidak dirahsiakan dan akal dapat memahaminya dengan mudah, sudah pasti, manusia hanya akan beribadah kepada Allah jika sesuatu ibadah itu sesuai dengan rasional akalnya yang terbatas, dan akan mengingkari jika sesuatu ibadah itu tidak sesuai dengan akalnya. Dan ini akan membuatkan manusia menyembah akal bukannya Allah yang mencipta mereka.

 

Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya al-Ibadah fi al-Islam menyatakan:

"Bukanlah menjadi keharusan bahawa ibadah yang disyariatkan itu perlu ada manfaat dalam kehidupan manusia dari segi material. Malahan bukan juga sesuatu yang mesti sesuatu ibadah itu boleh difahami akal yang terbatas. Ibadah adalah ujian bagi ketaatan manusia kepada Tuhannya. Jadi, jika akal dapat mengetahui rahsia ibadah secara terperinci, maka ia tidaklah dapat memberi manfaat dan makna kepada manusia terhadap konsep ibadah dan taat kepada Tuhan."


Cukuplah seseorang mukmin mengetahui hikmah ibadah itu secara umum, dan meyakini bahawa setiap ibadah itu adanya manfaat dan hikmah yang tersendiri. Allah tidak pernah memerlukan ibadah para hamba-Nya, tetapi Allah mencipta ibadah adalah semata-mata untuk kebaikan dan manfaat hamba-Nya.

 

Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertakwa umpama hati orang yang paling bertakwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang cacatkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku." (Hadis Imam Muslim)


 

Banyaknya rahsia alam semesta yang tidak mampu manusia khususnya saintis menemuinya, begitu banyak juga rahsia ibadah yang tidak terjangkau oleh akal. Hal ini sebenarnya membuatkan tumbuhnya rahsia rindu manusia kepada rahsia yang tersembunyi, dalam masa sama membuatkan manusia insaf dan sedar mengenai kelemahan dirinya sendiri.

 

Sudah ramai manusia tersesat kerana sengaja mencari rahsia hikmah dalam setiap perkara yang disyariatkan dalam ibadah. Apabila mereka tidak menemui rahsia itu kerana akal yang terbatas, mereka mula berasa ragu-ragu di atas kepercayaan yang ada dan kemudian menjadi sesat.

 

Al-Imam Ghazali dalam kitabnya Al-Munqidz min adh-Dhalal berkata,

"Maka sesungguhnya suatu kebodohan sesiapa saja yang mencari hikmah yang ada di sana, atau orang yang mengatakan bahawa ibadah itu dilakukan secara kebetulan dan tidak ada rahsia Allah di dalamnya."


 

Oleh sebab itu, perbuatan mencari hikmah dalam ibadah dengan secara terperinci sehingga dapat memuaskan akal adalah perbuatan yang salah dan keliru. Berpuas hatilah dengan keterangan umum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran, kemudian sama-sama kita katakan, "Kami dengar dan kami taat."

 

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20091123235529/Article/index_html