Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan ketegasannya dalam
menjalankan hukum-hukum Allah. Dengan sebab ketegasannya itulah, orang
merasa segan dan hormat kepadanya..
Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak laki-laki, di antaranya ialah
Abdul Rahman bin Umar. Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.
Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu penyakit yang
dideritainya selama kira-kira setahun. Berkat kesabaran dan usahanya
akhirnya penyakit tersebut dapat disembuhkan. Sebagai mensyukuri
dan tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu Syahamah yang sudah
lama tidak keluar rumah itu menghadiri majlis jamuan besar-besaran di
sebuah rumah perkampungan Yahudi atas jemputan
kawan-kawannya yang juga terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan
kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada larangan Allah dengan meminum
arak sehingga mabuk.
Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi pagar kaum Bani
Najjar. Dia ternampak seorang perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu
mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila
perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk melarikan diri sehingga
berjaya mencakar muka dan mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia
tidak berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah
dikuasai oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.
Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah sampai masanya anak
yang dikandung oleh perempuan itu pun lahir, lalu dibawa ke Masjid
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk mengadap
Amirul Mukminin bagi mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya.
Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu itu ialah Sayyidina
Umar ibnu Khattab.
"Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana engkaulah yang lebih
bertanggungjawab untuk memeliharanya daripada aku."
Mendengar kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa terkejut dan hairan.
Perempuan itu berkata lagi: "Anak damit ini adalah keturunan darah daging
anak tuan yang bernama Abu Syahamah."
Sayyidina Umar bertanya: "Dengan jalan halal atau haram?"
Perempuan itu dengan berani menjawab: "Ya Amirul Mukminin, Demi Allah yang
nyawaku di tanganNya, daripada pihak aku anak ini halal dan daripada pihak
Abu Syahamah, anak ini haram."
Sayyidina Umar semakin kebingungan dan tidak faham maksud perempuan Bani
Najjar ini lalu menyuruh perempuan ini berterus terang.
Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar peristiwa yang
menimpa dirinya sehingga melahirkan anak itu.
Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu sehingga menitiskan air
mata.
Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: "Wahai perempuan jariyah (jariyah
adalah panggilan budak perempuan bagi orang Arab), ceritakanlah perkara
yang sebenarnya supaya aku dapat menghukum perkara kamu
ini dengan sebenar-benarnya dan seadil-adilnya. "
Perempuan itu menjawab: "Ya Amirul Mukminin, penjelasan apa yang tuan
kehendaki daripadaku? Demi Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku
sanggup bersumpah di hadapan mushaf al-Qur'an."
Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur'an dan perempuan itu pun
bersumpah bermula dari surah al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian
bertegas lagi: "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini
adalah dari darah daging anakmu Abu Syahamah."
Kemudian Sayyidina Umar berkata: "Wahai jariyah! Demi Allah engkau telah
berkata benar." Kemudian beliau berpaling kepada para sahabat, katanya
"Wahai sekalian sahabat Rasulullah, aku berharap kamu
semua tetap di sini sehingga aku kembali."
Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil membawa wang dan kain
untuk diberikan kepada perempuan malang itu: "Wahai jariyah, ambillah wang
sebanyak tiga puluh dinar dan sepuluh helai kain
ini dan halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di dunia ini dan jika
masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu berhadapan dengan Allah
nanti." Perempuan itu pun mengambil wang dan kain yang
diberikan oleh Sayyidina Umar lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan
anaknya.
Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata kepada
sahabat-sahabatnya: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, tetaplah kamu di
sini sehingga aku kembali."
Sayyidina Umar terus pergi menemui anaknya Abu Syahamah yang ketika itu
sedang menghadapi hidangan makanan. Setelah mengucap salam dia pun
berkata: "Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita
makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir bekalanmu untuk
kehidupan dunia."
Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut seraya berkata,
"Wahai ayahku, siapakah yang memberitahu bahawa inilah hari terakhir
bekalanku untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah
putus setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."
Kata Sayyidina Umar: "Wahai anakku, berkata benarlah sesungguhnya Allah
Maha Melihat dan Dia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan Dialah
Maha Luas Penglihatannya. " Sambung Sayyidina Umar
lagi: "Masih ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke satu majlis di
perkampungan Yahudi dan mereka telah memberikan kamu minum arak sehingga
kamu mabuk? Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang
melintasi perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan seorang
perempuan lalu memperkosanya? Berkata benarlah anakku, kalau tidak engkau
akan binasa."
Abu Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan perasaan malu sambil
diam membisu. Dengan perlahan beliau membuat pengakuan: "Memang benar aku
lakukan hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku itu."
Sayyidina Umar menegaskan: "Tiada guna bagimu menyesal setelah berbuat
suatu kerugian. Sesungguhnya engkau adalah anak Amirul Mukminin tiada
seorang pun yang berkuasa mengambil tindakan ke atas
dirimu, tetapi engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat Rasulullah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam."
Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah lalu membawa ke
tempat para sahabat yang sudah sekian lama menunggu.
"Mengapa ayahanda melakukan ini?" Tanya Abu Syahamah.
"Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia supaya aku dapat lepas
daripada dituntut di akhirat kelak," jawab Sayyidina Umar dengan tegas.
Abu Syahamah dengan cemas merayu: "Wahai ayahandaku, aku mohon dengan nama
Allah, tunaikanlah hak Allah itu di tempat ini, jangan malukan aku di
hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."
Jawab Sayyidina Umar: "Engkau telah membuat malu dirimu sendiri dan engkau
telah menjatuhkan nama baik ayahmu."
Apabila sampai di hadapan para sahabat mereka pun bertanya: "Siapakah di
belakangmu wahai Amirul Mukminin?" Jawab Sayyidina Umar: "Wahai sahabatku,
sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku
sendiri dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah perempuan yang
menyampaikan khabar tadi."
Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya (hambanya): "Wahai Muflih,
pukullah anakku Abu Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit,
jangan kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan kerana Allah."
Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana khuatir tindakannya itu
akan memberi mudharat kepada Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah
apabila diperintah oleh Sayyidina Umar. Tatkala dia memukul
Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu Syahamah dalam
kesakitan: "Wahai ayahandaku, rasanya seperti api yang menyala pada
jasadku."
Jawab Sayyidina Umar: "Wahai anakku, jasad ayahmu ini terasa lebih panas
dari jasadmu."
Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul sebanyak sepuluh rotan
lagi. Berkata Abu Syahamah: "Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya
aku dapat mengambil sedikit kesenangan."
Jawab sayyidina Umar: "Seandainya ahli neraka dapat menuntut kesenangan,
maka aku pasti akan berikan kepadamu kesenangan."
Setelah itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak
sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah merayu: "Wahai ayahandaku aku mohon
kepadamu dengan nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku
dapat bertaubat."
Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: "Wahai anakandaku, apabila selesai aku
menjalankan hak Allah, jika engkau hendak bertaubat pun maka bertaubatlah
dan jika engkau hendak melakukan dosa itu lagi pun
maka lakukanlah dan engkau akan dipukul seumpama ini lagi."
Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak
sepuluh kali sebatan lagi.
Abu Syahamah terus merayu: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon
kepadamu berilah aku minum seteguk air."
Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: "Wahai anakandaku, seandainya ahli
neraka dapat meminta air untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air
minum."
Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta Muflih memukul lagi
sebanyak sepuluh rotan. Abu Syahamah mohon dia dikasihani: "Wahai
ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku."
Sayyidina Umar dengan sayu menjawab: "Wahai anakandaku, kalau aku
kasihankan kamu di dunia, maka engkau tidak akan dikasihani di akhirat."
Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak
sepuluh kali sebatan. Abu Syahamah dengan nada yang lemah berkata: "Wahai
ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan aku
begini sebelum aku mati?"
Sayyidina Umar menjawab: "Wahai anakandaku, aku akan hairan kepadamu
sekiranya engkau masih hidup dan jika engkau mati kita akan berjumpa di
akhirat nanti."
Sayyidina Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh
rotan. Dalam keadan semakin lemah Abu Syahamah berkata; "Wahai ayahandaku,
rasanya seperti sudah sampai ajalku....."
Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: "Wahai anakandaku, jika
engkau bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, sampaikan salamku
kepadanya, katakan bahawa ayahandamu memukul dirimu
sehingga kau mati."
Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus menyuruh Abu Muflih
memukul lagi sebanyak sepuluh kali rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan
kudrat yang semakin lemah berusaha memohon simpati
kepada para hadirin: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa kamu
tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan aku saja?"
Kemudian salah seorang sahabat pun menghampiri Sayyidina Umar dan
berkatas: "Wahai Amirul Mukminin, hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu
dan kasihanilah dia."
Sayyidina Umar dengan tegas berkata: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah,
apakah kamu tidak membaca ayat Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 yang
tafsirnya: "Jangan kamu dipengaruhi kasihan belas pada
keduanya dalam menjalankan hukum Allah."
Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat Rasulullah pun diam tidak
membantah, sementara itu Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul
sepuluh sebatan lagi.
Akhirnya Abu Syahamah mengangkat kepala dan mengucapkan salam dengan suara
yang sangat kuat sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi
sehingga hari kiamat.
Kemudian berkata Sayyidina Umar: "Wahai Muflih, pukullah lagi sebagai
menunaikan hak Allah." Muflih pun meneruskan pukulan untuk ke seratus
kalinya.
"Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu," perintah Sayyidina Umar apabila
melihat anaknya tidak bergerak lagi. Setelah itu Sayyidina Umar
mengisytiharkan: "Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku
Abu Syahamah telah pergi menemui Allah." Mendengar pengumuman itu ramailah
umat Islam datang ke masjid sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara
mereka sedih dan terharu, malah ramai yang menangis
melihat peristiwa tersebut.
Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin al-Khattab
al-Khalifatul Rasyid umumnya masyarakat berpendapat kematian Abu Syahamah
adalah disebabkan oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina
Umar Radhiallah 'Anhu.
Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada malamnya Ibnu Abbas
Radhiallahu 'Anhuma bermimpi bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu 'Alaihi
Wasallam yang wajah baginda seperti bulan purnama,
berpakaian putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda dengan
berpakaian hijau. Setelah itu Rasululah Sallallahu 'Alaihi Wasallam
berkata: "Wahai anak bapa saudaraku, sampaikan salamku pada
Umar dan beritahu kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap
kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah dan suatu kebahagiaan
baginya sebab Allah telah menyediakan baginya beberapa
mahligai dan beberapa bilik di dalam Jannatun Na'im. Bahawa sesungguhnya
Abu Syahamah telah pada tingkatan orang-orang yang benar di sisi Allah
Yang Maha Kuasa.
Wallahu 'Alam.
sumber : forwarded email dari group [kawan_ku] , dari wan haniff