15 January 2011

Nikmat Dunia & 2 Golongan

0 ulasan
DUA GOLONGAN MANUSIA TERIMA NIKMAT DUNIA CARA BERBEZA

Oleh Zamanuddin Jusoh


MENILAI kehidupan dunia ini, Rasulullah SAW menyifatkan ia sebagai ladang hijau penuh dengan keindahan. Pada masa sama, Baginda mengingatkan mengenai bahaya fitnah serta ujian terbentang di padang menghijau itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya dunia ini umpama taman hijau yang indah. Penuh dengan nikmat dan keindahan dan Allah menciptakannya untuk kamu. Oleh itu pastikan segala nikmat ini digunakan dengan sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat Muslim dan Nasai’)
Imam Masjidil Haram, Syeikh Usama Bin Abdullah Al-Khayyat yang membicarakan mengenai keindahan dunia, isinya serta paparan ayat al-Quran dan hadis dalam khutbahnya mengingatkan supaya berhati-hati mengejar kemewahan sementara. Katanya, tidak dapat dinafikan, setiap kenikmatan dunia akan menarik semua jiwa untuk mendekatinya. Sudah pasti setiap jiwa akan gembira apabila mengecapi nikmat dunia. Namun, ada dua golongan yang menerima nikmat ini dengan cara berbeza.

GOLONGAN PERTAMA

Mereka yang bijak (Ulul Al-Bab) yang mendapat petunjuk Allah SWT berjalan atas landasan sebenar. Mereka sentiasa berwaspada dengan nikmat sementara ini kerana yakin dengan nikmat syurga yang kekal selamanya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya bagi mereka yang beramal soleh di dunia, kami tidak akan mensia-siakan mereka. Kelak mereka menjadi penghuni syurga yang mengalir di bawahnya sungai di samping perhiasan emas dan pakaian hijau dari sutera halus dalam keadaan bersandar atas singgahsana indah. Itulah sebaik-baik tempat berehat.” (Surah Al-Kahfi, Ayat 30-31)
Rasulullah SAW menyifatkan ahli syurga dalam sabdanya yang bermaksud:
“Apabila seseorang dimasukkan ke syurga, dia akan mendengar seruan silakanlah, bagi kamu kesihatan buat selama-lamanya tanpa sakit sedikitpun, hiduplah kamu di sini tanpa merasai kematian buat selamanya. Rasailah nikmat yang sebenar tanpa kamu berputus asa.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)
Golongan yang mendapat nikmat ini sentiasa menjaga kewajipan dengan sempurna dan menambah ibadat sunat serta melakukan perkara berfaedah semasa hidup. Mereka sedar akan kesuntukan masa ketika di dunia dan ganjaran akhirat yang akan dituai.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengharapkan hasil tuaian di akhirat, maka kami akan terus menggandakannya.” (Surah Syura, Ayat 20)
Mereka tidak sekali-kali meninggalkan nikmat dunia seperti dianjurkan Lokman Al-Hakim kepada anaknya melalui firman Allah yang bermaksud:
“Tuntutlah apa yang disediakan Allah untuk kamu di akhirat, dan janganlah kamu lupa bahagian kamu di dunia dan berlaku baiklah kepada mereka yang berbaik padamu.” (Surah Al-Qasas, Ayat 77)
GOLONGAN KEDUA

Golongan kedua, yang hatinya lalai mengingati Allah lantaran mengikut hawa nafsu melampau. Mereka terus mengecapi nikmat tanpa menghiraukan batas larangan Allah dan menjadikan matlamat hidup hanyalah dunia semata-mata.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengharapkan kehidupan dunia semata-mata, maka kami akan segerakan bagi mereka dunia itu. Kemudian kami sediakan tempat mereka di neraka dalam keadaan tercela dan terusir.” (Surah Al-Isra’, ayat 18)
---------------------------

Marilah bersama memastikan kita tergolong kalangan disebut Ulul-Albab yang terus mendapat dorongan hidayah Allah tanpa sedikitpun terpengaruh dengan godaan kehidupan dunia semata-mata.

Firman Allah yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan gurauan, berbangga dengan perhiasan, kekayaan dan keturunan seperti hujan yang mana tanamannya mengagumkan petani. Kemudian tanaman itu menjadi kering lalu hancur. Di akhirat nanti ada azab yang keras dan keampunan darinya juga. Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan yang palsu.” (Surah Al Hadid, Ayat 20)

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

*sumber : ruang agama Berita Harian Online (14/1/11)

08 January 2011

5 Syarat Sebelum Memilih Teman (Imam Al-Ghazali)

0 ulasan
Sebelum menjatuhkan pilihan pada seseorang untuk diangkat sebagai pegawai, pembantu, atau kawan, maka seeloknya kita melakukan ujian. Memilih seorang juru masak, kita perlu mengujinya terlebih dahulu sebelum dia benar-benar layak diangkat. Imam Abdullah bin Alwi Al-Haddad mengatakan:
“Jika engkau ingin memilih seorang manusia mengikut keperluan dirimu, maka ujilah dengan perkara yang dengannya ia layak untuk dipilih."
Terlebih dalam memilih teman pergaulan. Kita lihat, apakah ia teman yang pantas diajak bersahabat atau hanya akan menjadi penolong yang kemudian merosakkan diri kita. Sikap tidak kesah tanpa ujian, akan mendatangkan penyesalan. Lihat apakah ia seorang yang boleh dipercaya, jujur, dan sebagainya.
Imam Ghazali membuat 5 syarat sebagai syarat layak tidaknya ia diangkat sebagai teman:

1. Uji akalnya.

Mengapa? Akal adalah modal utama dalam meraih keberuntungan. Sebaliknya, kebodohan adalah sebuah kerugian. Seorang yang berusaha mengemudikan kendaraan tanpa memiliki kecakapan, ia akan terperosok, melukai orang lain.

Seorang pembantu yang tidak pintar, akan memberikan pisau pada seorang Balita yang merengek-rengek meminta pisau. Tanpa ada akal yang membimbingnya, si pembantu tersebut betul-betul memberikannya. Akibatnya, berdarah-darah.
Oleh sebab itu, Imam Ali bin Abi Thalib mengatakan:
“Jangan kamu berteman dengan orang yang bodoh. Berhati-hatilah. Banyak orang yang pandai, jatuh kerana orang yang bodoh.”

2. Uji Budi pekertinya.

Betapa banyak, mereka yang cerdas secara intelektual tapi tidak berakhlak. Pandai namun melakukan rasuah, menipu, rosak moralitinya.

Mungkin ia cerdas, mempunyai gelaran akademik yang berjela di belakang namanya, tapi ia tidak boleh mengelola emosi dan syahwatnya.

Nilai manusia terletak pada akhlak bukan pada ketampanan dan wajah yang rupawan. Allah memuji Nabi SAW bukan dari segi ketampanannya meski beliau manusia paling tampan; bukan pada bau harumnya meski beliau membawa bau harum di mana beliau berada. Allah berfirman:
“Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Surah Al-Qalam, Ayat 4)
Seperti itulah nilai keagungan Nabi, iaitu akhlak. Sebotol minyak wangi harganya boleh melonjak tinggi sebab ia membawa wangian. Semakin harum, semakin mahal nilainya. Akhlak merupakan nilai 'standard' diri seorang manusia.


3. Perbuatannya.

Ertinya, jangan mencari kawan, pembantu, atau pegawai yang fasik, melanggar ajaran Allah. Carilah seorang yang taat pada Allah dan hindari orang-orang yang gemar bermaksiat. Allah berfirman:
“Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari orang yang berpaling dari peringatan Kami, dan tidak mengingini kecuali kehidupan duniawi.” (Surah An-Najm, Ayat 29)
“Maka sekali-kali janganlah kamu dipalingkan daripadanya oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan oleh orang yang mengikuti hawa nafsunya, yang menyebabkan kamu jadi binasa”. (Surah Thaha, Ayat 16)
Ketika kita berteman dengan orang fasik, lunturlah nilai sebuah kesolehan. Ketika kita berani menjalin hubungan persahabatan dengan penagih dadah, kitalah akan menjadi korban berikutnya. Ketika orang yang sihat berkumpul dengan orang yang sakit, orang yang sihatlah yang akan terkena jangkitannya.


4. Akidahnya.

Jangan berkumpul dengan ahli bid`ah. Di saat ramainya lalu-lintas aliran sesat, tentu mengangkat seseorang sebagai pemimpin, teman, atau pembantu, mesti melihat dan meneliti akidah yang diyakininya. Jika tidak, tidak menutup kemungkinan, ia akan menyebarkan virus kesesatannya pada keluarga dan masyarakat sekitar. Menimbulkan pergaduhan dan ketidakselesaan.


5. Cintanya pada dunia.

Jangan cari teman yang cinta dunia, tamak, dan rakus terhadap dunia. 2 ciri khas orang tamak:
i) Enggan membantu orang lain yang berada dalam kesusahan
ii) Selalu berusaha menambah kenikmatan duniawinya meski untuk itu harus mengambil hak dan martabat orang lain.
Orang tamak tidak mahu rugi, namun sentiasa mengail keperluan di balik keluh-kesahnya kala ia didera derita. Ia memutus harapan. Demi kepentingannya, ia akan mengorbankan pihak lain dengan berbagai cara. Licik adalah nafas hidupnya.

Habib Abdurrahman As-Saggaf mengajarkan sebuah prinsip:
“Jika kamu menilai manusia seperti serigala, maka jangan kamu menjadi domba untuk dimakan olehnya. Jika kamu melihat orang yang lugu, maka jangan kamu memakannya.”
Jangan jadi penjahat dan jangan mahu dijahati, jadilah orang yang pandai memberikan manfaat, tapi jangan dimanfaatkan oleh orang untuk kepentingan yang tidak baik. Wallahualam…

"Tiada KEREHATAN bagi SEORANG PEJUANG melainkan KEMATIAN"

Sumber : web LayarMinda (Hidayah Hannan)