Assalamu'alaikum wr wbr.
Al-Hamdulillah, kita umat Islam baru saja merayakan Eid al-Fitriy. Dua bulan berikut pada 10hb Dzul Hijjah insya Allah kita akan rayakan pula Eid al-Adha. Kedua-dua Hari Raya ini telah ditetapkan oleh Islam melalui lisan Rasulullah s.a.w. Oleh itu, merayakan dua hariraya tersebut bukan tergolong ke dalam adat-istiadat tetapi lebih kepada ibadat. Persoalannya, tahukan umat Islam apakah rahasia dibalik ungkapan Eid al-Fitriy ? Berikut ini saya cuba merungkai maksud istilah tersebut semoga berguna untuk dijadikan sebagai bahan renungan dalam bulan Syawwal yang mulia ini.
Ada dua jenis Eid dalam Islam iaitu Eid al-Fitriy dirayakan pada setiap 1 Syawwal dan Eid al-Adha dirayakan pada 10 Dzul Hijjah. Makna asal perkataan 'Eid adalah kembali atau berulang, sama dengan makna adat. Itulah sebabnya sesuatu yang dilakukan secara berulang kali dinamakan adat. Saban tahun setiap kali kita menemui 1hb Syawwal maka kita umat Islam tidak pernah lalai untuk merayakan Eid al-Fitriy. Demikian juga setiap 10hb Dz. Hijjah.
Al-Fitriy pula berasal dari perkataan Fitrah yang mempunyai beberapa makna, antaranya : Suci atau Islam atau Semulajadi (Asal).
Jika dua perkataan di atas yakni Eid dan Al-Fitriy digabungkan maka maksudnya ialah :
1. Eid al-Fitriy dengan makna Kembali Suci.
2. Eid al-Fitriy dengan makna Kembali Islam.
3. Eid al-Fitriy dengan makna Kembali Kepada Semulajadi (Asal).
Penjelasan :
1. Eid al-Fitriy dengan makna Kembali Suci.
Bulan Ramadhan dikenal sebagai bulan pengampunan dosa. Sungguh banyak hadis sahih yang menjajikan pengampunan dosa jika umat Islam beribadat dalam bulan Ramadhan, sama ada dengan ibadat puasa pada siangnya atau qiyam pada malamnya dengan tarawih dan witir sehingga dikatakan oleh baginda s.a.w. begitu memasuki Syawwal mereka berkeadaan suci dari dosa bagaikan bayi yang baru dilahirkan ibunya. Apalgi jika dikaitkan dengan makna Ramadhan itu sendiri membawa maksud " Panas Yang Membakar " yang diartikan oleh sesetengah ulama Ramadhan sebagai bulan pembakar segala dosa. Jadi umat Islam memasuki 1hb Syawwal (Eid al-Fitriy) dalam keadaan suci bersih dari segala dosa.
2. Eid al-Fitriy dengan makna Kembali Islam.
Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari : ( Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah ; maka ibu bapanyalah yang me-Yahudi-kannya atau me-Nasrani-kannya atau me-Majuusi-kannya ). Fitrah disini boleh diartikan suci yakni tanpa dosa sebagaimana penjelasan makna al-Fitriy di atas ataupun Fitrah dengan makna Islam. Itulah sebabnya istilah convert bagi non-moslem yang masuk Islam sebenarnya istilah yang kurang tepat. Istilah yang lebih tepat adalah revert atau " Back To Basic " (Kembali kepada Islam) sebab asalnya setiap baby yang dilahirkan adalah dilahirkan dalam Islam. Jadi jika ada insan yang memilih bukan agama Islam sebagai agama untuk dianutnya maka itu bermakna dia telah menyimpang dari asal kejadiannya atau kerana dia telah dipengaruhi oleh keadaan sekelilingnya sama ada oleh ibu bapanya atau lingkungan masyarakatnya sebagaimana yang diisyaratkan oleh hadis sahih di atas. Atas dasar itu pula menurut akidah Islam : Kanak-kakak yang meninggal dunia sebelum umur baligh akan dimasukkan ke dalam syurga walaupun ibu bapa mereka non moslem (kafir).
3. Eid al-Fitriy dengan makna Kembali Kepada Semulajadi (Asal).
Islam adalah agama yang tidak bercanggah dengan Fitrah semulajadi atau naluri insan. Jika insan dibekali oleh Allah hawa nafsu selain akal maka Islam tidak melarang insan melayani hawa nafsunya selagi ianya bersesuaian dengan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda : ( Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga dia sesuaikan hawa nafsunya dengan ajaran yang aku bawa ). Keinginan seksual, kekayaan, berpakaian cantik dan lain-lain dibolehkan selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Berikut beberapa contoh :
Fitrah dalam Aqidah adalah Tauhid sedangkan Syirik pula bercanggah dengan fitrah ; Fitrah dalam Ibadat adalah Mengikuti Cara Rasulullah s.a..w. sedangkan Bid'ah pula bercanggah dengan fitrah ; Fitrah dalam Muamalat atau Akhlak adalah Jujur, Benar, Adil, Menepati Janji, Ihsan Kepada Ibu bapa, Berbaik-baik dengan Jiran Tetangga, Silaturrahim dengan kaum kerabat sedangkan Khianat, dusta, zalim, mungkir janji, durhaka kepada ibu bapa, bermusuhan dengan tetangga serta memutuskan hubungan silarurrahim dengan kaum kerabat adalah bercanggah dengan fitrah naluri Islam itu sendiri.
Semoga ulasan ringkas ini berguna untuk kita semua.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan " Taqabbalallaahu Minna Wa Minkum ". ( Semoga Allah menerima amal ibadat kita semua ). Adapun ucapan yang lazim kita dengan sebelum ini juga baik maknanya yakni : " Minal 'Aaiddin Wal Faaiziin " : ( Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang kembali dan ke dalam golongan orang-orang yang berjaya ).
Apakah yang dimaksudkan dengan golongan yang kembali dalam ucapan di atas ? Jika kita renung ulasan di atas maka kita pasti akan mendapat jawapannya bahawa hanya orang yang berusaha untuk kembali kepada Fitrah sahaja yang layak mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Semoga Allah memberi kita masing-masing kekuatan untuk berbuat demikian. Amin Ya Rabbal Alamin.
Ustaz Dr. Abdullah Yasin.
No. 62 Jalan pauh Kijang ,
57100 Kg Malaysia Raya ,
Sg. Besi - Kuala Lumpur - 012-2056040.
~(fwd fr e-mail)~
No comments:
Post a Comment