28 December 2009

Sihir Mainan Jin, Syaitan Pesongkan Akidah Ummah (oleh Dr. Rushdi Ramli)

0 ulasan

AMALAN kufur pengamal sihir menyediakan santapan untuk memuja syaitan sebagai orang suruhannya.



 

Ilmu hitam seperti pengasih hanya bawa kemudaratan perlu dihindari

 

BARU-BARU ini, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid mencadangkan diwujud undang-undang mengekang penggunaan ilmu hitam, termasuk bagi menundukkan suami atau isteri serta dalam aktiviti jenayah yang dilihat semakin ketara sejak kebelakangan ini.


 


Saranan itu dikemukakan beliau pada Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor di Shah Alam pada 17 Disember lalu, antara lain menyebut undang-undang itu boleh dimasukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam dan bagi bukan Islam pula perlu diwujudkan akta baru.


Beliau akui pengamal dan pihak yang mengarahkan sihir terlepas hukuman kerana tiada undang-undang berkaitan, selain sukar dibuktikan di mahkamah kerana amalan ini abstrak dan tidak boleh dibuktikan oleh pancaindera. Tulisan ini bukan mahu menyentuh soal undang-undang tetapi lebih kepada pemahaman mengenai sihir dari sudut agama dan kesannya kepada masyarakat.


 


Sihir antara 'ujian Allah' yang berlaku dengan keizinan, kehendak dan kuasa Allah yang diwujudkan dalam kehidupan manusia bagi tujuan menguji manusia dari segi kesabaran dan keimanan mereka.


 


Sihir ialah ajaran iblis dan syaitan bertujuan menjerumuskan manusia ke dalam penderitaan. Hakikat sihir dinyatakan secara jelas dalam firman Allah SWAT bermaksud:




"...dan tidaklah Nabi Sulaiman menjadi kufur (kerana mengamalkan sihir), tetapi puak syaitan itulah yang kufur (dengan amalan sihir yang dilakukan) kerana merekalah yang mengajar manusia ilmu sihir..." (al-Baqarah ayat 102).



Sabda Nabi SAW bermaksud:




"Tidak masuk syurga penagih arak dan tidak juga mereka yang terbabit dengan amalan sihir dan tidak juga mereka yang memutuskan silaturahim." (hadis riwayat Ibn Hibban)



 


Bagi manusia yang lemah imannya, mereka mudah terdorong menggunakan khidmat ahli sihir atau bomoh sihir bagi menyakiti atau memusnahkan sesiapa yang mereka benci dan musuhi. Bagi yang terkena bahana sihir, mereka terpaksa menanggung pelbagai sakit dan penderitaan, fizikal, mental atau rohani yang secara umumnya tidak dapat dikesan oleh perubatan moden yang canggih.


 


Sihir membabitkan peranan langsung makhluk halus iaitu iblis, syaitan dan jin yang berperanan menyakitkan manusia apabila makhluk ini dipuja, disembah dan didaulat bagaikan 'Tuhan yang disembah' sehingga orang yang mengamalkan sihir dan yang memberi imbuhan kepada pengamal sihir, terjatuh ke lembah dosa besar syirik dan kufur kepada Allah.


 


Inilah visi dan misi terbesar iblis apabila dilaknat Allah iaitu janjinya untuk menyesatkan seramai mungkin anak Adam sehingga mereka menjadi penghuni neraka bersamanya di akhirat.


Ulama berpendapat sihir adalah fenomena yang benar-benar berlaku di alam realiti dengan izin Allah dan bukan khayalan atau cabang silap mata. Sihir memberi penderitaan kepada mangsa sama ada fizikal atau jiwa atau gangguan lain yang kebiasaannya tidak dapat difikirkan logiknya bagaimana kejadian itu boleh berlaku.


 


Realiti 'penderitaan fizikal dan rohani' dapat dicetuskan gangguan dan sentuhan syaitan dinyatakan dalam al-Quran melalui kisah Nabi Ayub yang bermaksud:




"Dan ingatlah ketika hamba kami Ayub berdoa kepada Tuhannya: (Oh Tuhan), sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (ditimpakan) kepayahan dan penderitaan." (Sad, ayat 41).



 


Menurut ulama, perkataan sihir dari segi bahasa bermakna sesuatu yang amat halus dan tersembunyi sebabnya (tidak dapat dikesan panca indera). Oleh itu, pelbagai gejala atau penderitaan dicetuskan sihir. Secara umumnya, ia sukar dikesan peralatan moden kerana punca penyakit amat terselindung. Misalnya, seseorang menderita sakit fizikal, namun menurut diagnosis doktor tidak ada kerosakan saraf atau sebagainya pada diri pesakit. Begitu juga mungkin isteri tiba-tiba benci kepada suaminya tanpa sebarang perkelahian atau perselisihan pendapat antara mereka.


 


Menurut takrifan sebahagian ulama, sihir merujuk kepada azimat, pelbagai jampi mantera dan simpulan tali yang dapat memberikan kesan yang nyata kepada jiwa, akal dan badan seseorang.


 


Sihir boleh menyebabkan seseorang tidak waras atau mencelarukan fikirannya, boleh menimbulkan rasa cinta berahi atau benci tanpa sebab yang jelas atau, boleh menyebabkan badan sakit. Perkara aneh yang berlaku ini diistilahkan sebagai 'al-khawariq al-syaytaniyyah', pada hakikatnya kesan daripada peranan yang dimainkan makhluk jin dan syaitan.


 


Menurut ulama, sihir tidak berlaku melainkan melalui seorang kafir lagi jahat atau Muslim fasik, sesat lagi mempersekutukan Allah.


 


Imam Ibn Qudamah menyatakan:




"Sihir adalah perkara yang benar, yang antaranya boleh membunuh seseorang atau menyakitkan fizikal seseorang atau menghalang seorang suami daripada menyetubuhi isterinya sehingga membawa kepada perceraian".



 


Oleh kerana besarnya bahana sihir, dalam surah al-Falaq ayat 4, Allah secara khusus memerintahkan orang Islam memohon perlindungan kepada Allah daripada bahana sihir iaitu melalui firman-Nya bermaksud:




"...dan daripada kejahatan tukang sihir wanita yang menghembus pada simpulan".



 


Ulama sepakat tanpa ikhtilaf bahawa mempelajari sihir, mengajarnya kepada orang ramai dan mengamalkannya adalah haram dan termasuk daripada dosa besar.


 


Menurut Abu Muhammad al-Maqdisi:




"...sihir merujuk kepada tangkal, jampi mantera (yang dibaca) dan simpulan tali (dijampikan) yang dapat memberi kesan langsung terhadap jiwa dan badan si mangsa, iaitu menyebabkan si mangsa sakit menderita atau mati atau memisahkan ikatan kasih antara pasangan suami isteri. Oleh itu, Allah memerintahkan umat Islam berlindung daripada kejahatan sihir dan jika sihir tidak mempunyai kesan mudarat sebenar, tentu Allah SWT tidak memerintahkan kita memohon perlindungan daripada bahana sihir".



 


Menurut Majdi Muhammad al-Shahawi dalam bukunya, al-`Ilaj al-Rabbani, sihir ialah permohonan pertolongan kepada jin dan syaitan yang bertujuan memberi mudarat kepada orang ramai.


 


Dalam 'hubungan' ini jin dan syaitan menjadi khadam kepada pengamal sihir. Sebagai imbuhannya, ahli sihir melakukan kerja tertentu yang jelas menyalahi hukum termasuk menyembah jin itu (amalan kufur).


 


Ulama berpendapat gejala dan penderitaan yang dicetuskan amalan sihir adalah pelbagai dan tidak terbatas kepada kepada ilmu pengasih semata-mata.


 


Sihir dapat menimbulkan rasa berahi secara tiba-tiba (sihr al-mahabbah) antara teruna dan dara atau rasa benci (sihr al-tafriq) yang keterlaluan mungkin antara dua jiwa yang bertunang dan nekad untuk berkahwin.


 


Sihir juga boleh menyebabkan fikiran dan akal seseorang terganggu secara tiba-tiba (gangguan mental) seperti menjadi murung dan mengelamun yang berpanjangan, pelupa, hilang tumpuan terhadap pengurusan diri sehingga menjadi kusut masai bagaikan orang tidak waras.


 


Sihir juga boleh menyebabkan seseorang benci untuk bergaul dan suka duduk berseorangan mengelamun. Sihir boleh menyebabkan seseorang mendengar pelbagai bisikan ganjil (tanpa kehadiran sesiapa) sehingga dirinya terganggu.


 


Begitu juga sihir boleh menyebabkan seseorang menderita sakit di bahagian tertentu badan atau seluruh badan atau menyebabkan anggota tertentu badannya menjadi lumpuh tanpa sebab yang jelas.


 


Antara sihir yang kerap ditemui dalam masyarakat kita ialah sihir pelalau (mengunci nafsu seseorang sehingga hilang keinginan untuk berkahwin), santau dan pukau.


 


Bahana yang dicetuskan sihir terlalu besar dan merugikan di akhirat nanti. Kita semua mesti menjauhi ahli sihir, sentiasa bersandar dan meletakkan harapan sepenuhnya kepada Allah yang Maha Penyayang dalam merungkaikan apa juga masalah yang membelenggu diri.


 


Penulis ialah Profesor Madya dan Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya


 


Sumber ; http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20091226231202/Article/index_html

09 December 2009

Tajdid Iman : Kenikmatan hidup bermula dengan Ibadah (oleh Dr. Juanda Jaya)

0 ulasan
 

BERIBADAHLAH ke jalan Allah untuk mencari ketenangan jiwa dan tanda kita mensyukuri nikmat pemberian-Nya.

 

Manusia bersedih, putus asa apabila ditarik nikmat, namun ia dugaan memperkukuh iman

 

NAFSU manusia tidak mungkin berhenti pada satu noktah kepuasan dalam mencari kesenangan. Setelah menikmati nafsu yang pertama, dia memburu nafsu kedua lalu yang ketiga dan seterusnya tanpa henti melainkan dengan izin Allah SWT.

 

Apabila dia tidak dapat mencapai hasrat nafsunya, dia pun bersedih dan putus asa, menangis dan meratapi kenikmatan yang hilang padahal Allah SWT menahan nikmat itu bukan kerana Allah bakhil tetapi Allah amat menaruh belas kasihan kepadanya.

 

Supaya dia tidaklah dilalaikan dengan nafsu kerana nikmat yang dicurah selama ini, nyata membuat hatinya keras dan semakin terseleweng dari jalan Allah. Dunia yang dilihat semata-mata nikmat padahal mengandungi ujian berat bagi mereka yang sedar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu tujukan kedua mata mu kepada apa yang telah kami berikan kepada golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk kami uji mereka dengannya dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal." (Surah Taha ayat: 131)."


 

Setelah memahami hakikat bahawa diri kita tidak pernah puas dengan apa yang dikejar, akhirnya kesedaran itu lahir daripada jasad yang telah lelah, hati yang gelisah dan jiwa yang terdera oleh kesibukan mencari nikmat. Seseorang tidak akan sampai kepada ketenangan jiwa melainkan dirinya berada pada suasana ibadat sepanjang masa. Seluruh perbuatannya dilakukan kerana Allah, bersama Allah dan untuk Allah ketika mencari nafkah, bergaul dengan manusia bahkan dalam perkara mubah sekalipun hendaknya kehadiran Allah sentiasa dirasai.

 

Orang mukmin juga mempunyai hawa nafsu, dia tidak pernah terlepas daripada pergolakan nafsunya. Kadang-kadang dia menang dan ada kalanya dia kecundang, begitulah sifat manusia yang memang lemah dan amat memerlukan petunjuk dari-Nya. Jika Allah SWT mengasihi orang mukmin maka Dia menunjukkan jalan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

 

Dibukakan aibnya sedikit untuk sekadar ingatan dan diujinya dengan musibah sebagai peringatan. Kemudian dituntun hati orang yang dikasihi-Nya ke lembah hijau tempat ranumnya iman, demi mengubati kegelisahannya itu dicurahkanlah mata air jernih ilmu dan makrifat, ditolong supaya hamba-Nya itu bangkit mengabdikan diri kepada-Nya. Begitulah rahmat Allah SWT kepada orang mukmin.

 

Adakalanya setiap mukmin merasai kerasnya hati, malas beribadah dan longgarnya rasa pengawasan Allah ke atas dirinya. Semua itu pasti dirasai sesiapa yang bermujahadah di jalan Allah. Sepatutnya kita bersyukur kerana cepat mengenal diri saat terlangar larangan Allah atau terlupa suruhan-Nya. Kenal dengan sifat-sifat dosa dan maksiat yang mencemari hati. Kemudian berusaha mengganti kelalaian itu dengan semangat ibadah dalam kehidupan.

 

Rasulullah SAW bersabda:

"Bertakwalah kepada Allah di mana pun kamu berada, ikutilah perbuatan buruk itu dengan kebaikan sesungguhnya kebaikan akan menghapus keburukan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis Hasan Riwayat Al-Tirmizi).


 

Semangat ibadah sentiasa timbul dan tenggelam di jiwa mukmin, untuk memastikan seorang mukmin tetap istiqamah perlu dihadirkan suntikan motivasi yang mencergaskan jiwanya untuk beribadah kepada Allah SWT.

 
  • Ibadah tanda mensyukuri nikmat.

    Kita sering melipatgandakan ibadah pada masa tertentu kononnya Allah memberi rezeki yang banyak atau kejayaan dalam bidang diceburi, maka kita amat bersungguh-sungguh mengingati jasa Allah. Menjemput saudara mara ke doa selamat, membaca Yasin, sembahyang berjemaah, memberi makan anak yatim dan bersedekah. Malangnya ada manusia apabila tidak menerima nikmat daripada Allah, mereka hilang semangat beribadah.

    Padahal nikmat Allah tidak semestinya berupa harta benda, kejayaan dan kecemerlangan hidup bahkan nikmat yang paling bernilai adalah dijauhkan kita daripada musibah yang menimpa kita, anak-anak dan keluarga. Jika setiap hari kita mendengar berita jenayah, tidakkah kita bersyukur kepada Allah kerana terhindar daripada musibah dengan perlindungan-Nya?

    Orang yang memahami hakikat bersyukur akan menemui di dasar hatinya bahawa tiada nikmat yang lebih besar selain menjadi orang mukmin yang diredai Allah SWT. Kerana itulah kita bersujud dan menuai amal salih setiap masa kerana jasa baik Allah ke atas kita.

    Rasulullah SAW bersabda ketika bersembahyang tahajjud di bilik Aisyah walaupun kaki baginda sakit, baginda bersabda: "Afala uhibbu an akuuna abdan syakuran?"(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari Muslim)


 
  • Ibadah tanda percaya janji Allah.

    Kitab-kitab yang menerangkan fadhilat ibadah wajib dan sunat sudah banyak diringkaskan daripada kumpulan hadis-hadis Nabi yang sahih, doa-doa Nabi yang maktsur juga menjadi keutamaan kerana ganjaran yang dikhabarkan. Ia diharapkan menjadi berita gembira yang didahulukan khabarnya di dunia, tanda kecintaan Allah kepada hamba-Nya dan Maha benar Allah atas segala janji-janji-Nya. Apabila hati keras dan jiwa menjadi malas, ubatilah ia dengan bacaan Al-Quran dan hadis sahih yang mengandungi unsur pujukan dan motivasi untuk mempertingkatkan iman dan amal kita di sisi Allah.


 
  • Ibadah tanda mengutamakan Allah.

    Apapun kesibukan yang membelenggu orang mukmin, hatinya tetap milik Allah. Tiada yang lebih penting daripada menjaga apa-apa yang diwajibkan-Nya dan juga amalan yang sunat. Apabila waktu berhibur dan bermain berlebihan berbanding waktu beribadah dan bekerja hendaklah disoal hati yang lalai itu mengenai siapakah sepatutnya yang lebih diutamakan?

    *Penulis ialah Mufti Perlis, kini menjadi tamu pusat kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom


 

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20091207225315/Article/index_html

07 December 2009

Halaqah : Kusut Masai (15/11/09)

0 ulasan
Panel 1: Ustaz Zahazan

Panel 2 : Ustazah Nordianah Alwi

 

1. Ustaz Zahazan
  1. Nabi adalah sebaik2 contoh kekemasan diri

  2. Jauhi takabbur walau sebesar biji sawi

  3. Untuk mengetahui peribadi keseluruhan Rasulullah s.a.w, bacalah buku Syamail Muhammad S.A.W terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

  4. Jangan ikut pakaian Jahiliyyah (tidak menutup aurat; jarang, ketat, nampak bentuk tubuh, etc), jika tidak, kita akan tergolong dalam golongan Jahiliyyah juga (Na'uzubillah)

  5. Pengaruh media yang tidak elok (pendedahan aurat yg berleluasa & keruntuhan akhlak yg dipaparkan, ditambah pula dengan hiburan melampau yg melalaikan) menjadi salah satu faktor utama golongan belia mudah cenderung ke arah yang sama

  6. Hendak mendidik seseorang mestilah ada ilmu

  7. Jika mahu anak tutup aurat, ibu bapa juga perlu laksanakannya terlebih dahulu

  8. Doakan anak2 agar anak2 menjadi penyejuk mata ibubapa

  9. Makanan juga memberi kesan terhadap perwatakan seseorang

 


2. Ustazah Nordianah Alwi



  1. Kaitkan tatacara berpakaian dengan sewaktu kita berada di rumah Allah / menghadap Allah

  2. Cara pemakaian umat Islam sudah ditentukan oleh hukum

  3. Selain dari cara berpakaian, menutup aurat juga menjadikan kita ditanda sebagai seorang muslim

  4. Sekarang kita pentingkan kecantikan semata2 berbanding kebersihan

  5. Dari sudut mekap, kebanyakannya memakai mekap yang 'waterproof' >> tak kena air wudhu' la jawabnya kalau susah nak tanggalkan.. maka ia memberi kesan kepada solat kita

  6. Supermarket pula banyak jual baju2 yang sukar dibezakan saiz antara kanak2 & dewasa..

  7. Yang paling penting = BERSIHKAN HATIMU~!

  8. Bukan setakat golongan belia, para 'beliau'* juga kena jaga penampilan

  9. *Beliau = istilah lain bagi orang dewasa di Sabah ;p

 


++++ coretan tambahan;


~ cantik tak semestinya bersih, tetapi bersih sememangnya cantik ;)


~ pokok pangkal kecantikan seseorang datang dari kecantikan hati


~ pakai produk kecantikan yang disahkan halal..& elakkan membeli produk dari syarikat pro-zionis


~ jagalah penampilan agar sentiasa kelihatan kemas, bersih & cantik... Cantik yang diharuskan dalam Islam adalah yang berpada2, mengikut syariat (tutup aurat) & tidak 'tabarruj' (berhias yang berlebih2an)..