02 June 2010

Tubuh, minda sihat bantu Muslim capai kecemerlangan hidup

 NIKMAT sihat yang masih subur dalam diri individu Muslim sewajarnya mengajar mereka mengenai syukur atas anugerah Allah. Kita amat terasa betapa nikmat kesihatan amat penting bagi diri apabila nikmat itu 'ditarik' oleh Allah SWT dengan pelbagai penyakit sehingga kadang kala terpaksa menghabiskan masa terlantar di katil hospital atau terbujur kaku.


 Rasulullah SAW mengajarkan kita agar menggunakan nikmat sihat dengan kebajikan dan amal salih yang lain sebelum didatangi penyakit. Masa sihat seharusnya dimanfaatkan dengan melaksanakan perintah Allah SWT untuk mencapai keredaan-Nya. Kelapangan masa dan kesihatan yang masih terhidang di depan mata sewajarnya menjadi medan memerangi nafsu yang bersarang dalam diri. Pelbagai nafsu yang membentuk bayang hitam diri manusia seperti makan dan minum yang melampau dan nafsu syahwat yang menggila.


 Daripada Abdullah Ibn Abbas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud,




"Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan". (Hadis riwayat al-Bukhari)



Pepatah juga menyatakan bahawa 'akal yang sihat adalah dari badan yang sihat' adalah tepat ke arah melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk membuat sesuatu kebaikan sekali gus meningkatkan kualiti kerja yang akan membawa kepada kecemerlangan dalam kehidupan seseorang Muslim.


 Kekuatan fizikal, keseimbangan rohani dan ketajaman fikiran adalah wadah penting dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan baik dan sempurna seterusnya dapat meneruskan misi dan visi sebagai hamba Allah dengan kualiti ibadah berkualiti dan sempurna dengan kesihatan yang baik.


 Daya ketahanan badan melawan penyakit amat diperlukan bagi diri seorang Muslim mendepani musibah penyakit yang melanda masyarakat dunia hari ini. Ramai yang dijangkiti dengan pelbagai penyakit kerana kurangnya daya tahan imuniti dalam badan melawan penyakit.


Penyakit zahir berpunca daripada kelalaian manusia terutama berkaitan makan dan minum yang berlebihan. Firman Allah,




"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang), dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas" (Surah al-A'raf: 31).



 Penyakit akan bersarang dalam perut kerana perut paling aktif menghidupkan penyakit. Kerancakan umat Islam menghadir majlis rumah berbuka sewajarnya berhati-hati memilih makanan.


 Namun, kita sering diingatkan bahawa sakit dan sihat adalah anugerah Allah SWT. Setiap penyakit yang menghinggapi diri adalah ujian Allah sebagai kafarah dosa yang dilakukan. Sabda Nabi SAW,




"Tidak ada seseorang Islam yang ditimpa sesuatu yang menyakiti, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya (pada musimnya yang tertentu)." (Hadis riwayat Abdullah bin Mas'ud RA)



 Dari Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi RA bahawa kedua-duanya masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Ia menjawab: "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya: "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:




"Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu, maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya bersih dari segala kesalahan; dan Tuhan berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: "Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat". (Hadis riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi RA)



Sumber artikel :


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20091002233529/Article/index_html


- Moga dapat manfaat bersama, InsyaAllah..

No comments: