18 August 2011

HALAQAH : USIAKU [4-1-11]

0 ulasan
Tajuk : USIAKU
Panel Penceramah : DATO' ABU HASSAN DIN AL-HAFIZ

hakikatnya, usia semakin berkurang menuju kematian [picture credit to wallcoo.net]
"Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan." ~Surah Fathir, Ayat 37~

1. Allah berikan akal untuk kita berfikir
  • semakin membesar, sepatutnya akal lebih berfikir
  • bila buat dosa, maka akan dapat neraka
  • bila manusia tidak menggunakan akal maka manusia = haiwan (malah turun martabat lebih hina dari haiwan)
  • tapi bila guna akal, martabat naik lebih tinggi dari malaikat
2. Umur = antara nikmat yang besar
  • jangka hayat amat bernilai
  • nilai masa itu lebih dari emas, tetapi hanya bagi orang-orang yang tahu nilai harga masa
  • bagi orang yang tak tahu & tak hargainya = akan mudah membuang masa
  • kelak kita akan dipersoalkan dengan apa masa itu terisi
3. Pembahagian / peruntukan waktu
  • Sehari ada 24 Jam, maka kita boleh bahagikan ia pada 3 bahagian (1 bahagian 8 Jam) ;
    • 1/3 untuk diri sendiri,
    • 1/3 untuk sesama manusia,
    • 1/3 untuk Allah
  • maka berbahagialah muslim itu jika dia dapat menguruskan masa & usianya sebegitu
  • pembahagian itu adalah asas kefahaman sahaja, namun taburan waktu khusus terpulang pada diri sendiri
~ kita tak tahu bila usia kita akan berakhir..
kerana usia adalah anugerah & ketetapan Allah..
~ kita diciptakan tidak sia-sia (malah semua kejadian Allah ada fungsinya tersendiri)
semakin tua seharusnya semakin berfaedah
Sebaik-baik Remaja adalah di usia remajanya bersikap & berfikir seperti Orang Tua (matang)
Sejahat-jahat (seburuk-buruk) Orang Tua adalah yang berlagak seperti orang muda / remaja
~ kita diciptakan untuk beribadat
berfikir mengingatiNya juga beribadat (fikir + zikir = fizikr)

~ 2 nikmat yang sering dilupa :
  1. kesihatan
  2. masa lapang

Hukum sambut Hari Lahir?
  • sambutan ulangtahun kelahiran tak salah, cuma bergantung pada cara
  • jangan ikut cara barat (nyanyian, kek berlilin, pesta, etc),
  • cukup sekadar bersyukur dan buat do'a selamat
  • ucapan perlu diperbetulkan ; bukan sambut 'hari jadi', tetapi 'hari lahir' (ulangtahun kelahiran)
  • ingatkan kepada mati..
  • yang lalu kita bersyukur & utk masa depan
  • tak perlu buat di hotel.. boleh menimbulkan riya'

*moga dengan saki baki usia ini kita dapat gunakan sebaik-baiknya, InsyaAllah*

* usia bukan untuk disia-sia *

~ Sebaik-baik manusia ialah yang dapat memberi manfaat kepada orang lain ~

15 July 2011

INSAN MAHIR (15 Julai 2011)

0 ulasan
Nota Al-Kuliyyah 15-7-11

Panel penceramah : DR. DANIAL ZAINAL ABIDIN

10 ciri peribadi muslim -klik gambar untuk lebih jelas- (sumber web)

1. Apa itu mahir?

  • Mahir (skill) = Suatu kefasihan / kecekapan yang diperoleh / diperkembangkan melalui latihan / pengalaman
  • "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah." (Surah Al-Qasas, Ayat 26)
  • Ayat di atas merupakan kenyataan salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib a.s mengenai cadangan sebagai pekerja terbaik, iaitu orang yang ada 2 ciri ; Qawiyy (gagah / kuat) & Amin (jujur / amanah)
  • menurut Syeikh Syed Hawa : Maksud Qawiyy = al-Kifayah (kompeten, cekap, fasih, cukup syaratnya). Amin = amanah. Contohnya jika nak buat gelas, mesti berilmu dan mahir
  • Skill ada 3 bahagian;
    • a) Foundation skills - kemahiran asas
    • b) Transformable skills – boleh berpindah ke mana-mana sektor / bidang. Contohnya orang menjahit, tak perlu pandai ICT, namun jika dia pandai kedua-dua bidang, ia satu kelebihan baginya (boleh promosi khidmat jahit online, etc..)
    • c) Motivation skills – kadang-kadang kita lemah semangat bila berhadapan suatu cabaran, tetapi dengan adanya kemahiran ini, masalah dapat diselesaikan dengan lebih mudah, InsyaAllah


2. Contoh lain dalam Al-Qur'an mengenai insan yang mahir

  • Para rasul adalah role model bagi kita
  • Salah satu contoh ; Nabi Yusuf yang mempunyai kemahiran mentakwil mimpi ;
    • "Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga dia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi) dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah Yusuf, Ayat 21)


3. Bagaimanakah caranya untuk meningkatkan kemahiran?

  • a) Kemahiran tak dapat dipisahkan dari ilmu / keilmuan.
    • Contohnya untuk baiki telefon bimbit yang rosak, perlu ada pengetahuan mengenai elektronik.
    • Ilmu itu harus diaplikasikan
    • Aspek ilmu diutamakan dalam Islam (berkait dengan turunnya wahyu pertama, dimulai dengan ‘Iqra’ yakni membaca)
    • kita baca & tuntut ilmu untuk faham. Ilmu dan keillmuan teras kemahiran
  • b) Perlu banyak latihan – contohnya solat yang pertama kali dilaksanakan sewaktu kanak-kanak, banyak yang perlu dilatih hingga akhirnya kita lancar melaksanakannya kini

---------siaran terputus tiba-tiba, dekoder buat hal (--")------------

4. Bagaimana kemahiran itu diberkati Allah?

  • Orang-orang yang melaksanakan amal & pekerjaan harus ada 2 ciri utama ;
    • a) Tunduk wajah hatinya (ikhlas keranaNya) - Allah maha mengetahui segala apa yang dilakukan / dibisikkan dalam hati
    • b) Bekerja mengikut syariat (solat tak tinggal, tidak terjebak dengan perkara haram)
  • .. serta ciri tambahan ;
    • c) Ikut aturan (prosedur)
    • d) Hormati rakan-rakan & orang lain (peranan akhlak)


5. Siapa lagi 'superhero' yang disebut dalam Al-Qur'an?
"Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata. " (Surah An-Naml, Ayat 16)

  • Ayat di atas menerangkan Nabi Sulaiman a.s diberi mu'jizat oleh Allah iaitu kemahiran memahami bahasa burung dan haiwan lain.
  • Untuk menampakkan bahawa Rasul berdakwah dengan kemahiran

"Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah."
"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah. " (Surah An-Naml, Ayat 39 - 40)

  • Ayat di atas mengenai kemahiran yang melibatkan kecepatan / kelajuan jin Ifrit membawakan singgahsana Ratu Balqis.
  • Orang mahir yang faham agama lebih baik berbanding orang mahir yang tidak faham agama, Allah akan membantunya dalam segala urusan InsyaAllah

"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." (Surah Al-Kahfi, Ayat 96)

  • Ayat di atas mengisahkan mengenai Raja Zulkarnain, seorang raja yang hebat, mahir membina benteng daripada besi dan tembaga. Ada kaitan dengan dunia kini. Benteng tersebut dibina untuk menghalang musuh. Walaupun beliau mahir membina benteng yang kuat, pengabdiannya pada Allah juga sangat hebat.


6. Siapakah yang boleh dijadikan role model (contoh)?

  •    Pada zaman Rasulullah SAW, ketika berhijrah dengan para sahabat ke Madinah, baginda memilih seorang yang mahir mengenai jalan untuk ke sana walaupun orang itu bukan Islam (kafir)
  •    Pada zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin, Khalid Al-Walid bersama bala tenteranya menyerang benteng di Kota Ambar (di Parsi) menggunakan anak panah. Namun pemanah pihak lawan yang berada di sebalik benteng yang tinggi itu hanya kelihatan bahagian muka sahaja. Jadi Khalid Al-Walid mengarahkan tenteranya supaya memanah tepat pada mata pihak lawan. Arahan yang kedengaran mustahil bukan? Namun dengan kemahiran hebat pada para tentera Khalid Al-Walid (dengan izin Allah), lebih kurang seribu tentera parsi buta matanya kerana terkena panahan tepat dari tentera beliau
  •  Sultan Muhammad Al-Fateh, yang menakluki Kota Constantinople. Beliau mampu mencipta meriam yang dapat menembak bedilan seberat 300kg sejauh sebatu dan dapat mencari jalan mengatasi sekatan pihak lawan dengan mengangkut 72 buah kapal perang melalui jalan darat dalam masa satu malam sahaja. Beliaulah yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik raja yang mempunyai sebaik-baik tentera..


7. Saranan untuk menjadi insan mahir

  • Golongan akademik diperlukan sebagaimana perlunya insan yang mahir.
  • Perlu ada golongan pemimpi (menyumbang idea) dan golongan perealisasi (menjadikan apa yang diimpi itu kenyataan)
  • Statistik kini : tenaga mahir di Malaysia hanya 21%, manakala luar negara melebihi 50%!!
  • Hubungan dengan Allah wajib dijaga dalam melaksanakan urusan lain


Pesanan Ust. Fauzi (moderator) - "Jadilah insan yang pabila dicampak ke langit menjadi bintang, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke studio menjadi ahli panel!!" ;)

01 July 2011

7 Wabak Sepanjang Zaman

0 ulasan


*Perkongsian dari sahabat-sahabat untuk renungan bersama, penulisan oleh DR. AL SYED MUHAMMAD NOH*


berpesan-pesanlah pada kebaikan (gambar hiasan)


1) AL-FUTUR

  • Pengertian (bahasa) : terputus atau terhenti sesudah berjalan, atau diam sesudah bergerak -malas, menangguh, melengah-lengah sesudah bergerak aktif dan bersungguh-sungguh
  • Pengertian (istilah) : tahap yang paling rendah ialah malas, menangguh-nangguh, melengah-lengahkan dan yang paling tinggi ialah berhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan.


2) AL-ISRAF(PEMBOROSAN)

  • Pengertian (bahasa) : apa yang dibelanjakan bukan untuk ketaatan kepada Allah - Pembaziran atau tindakan yang melampaui batas
  • Pengertian (istilah) : perbuatan yang melampaui batas kesederhanaan, sama ada dalam perkara makanan, minuman, pakaian , tempat tinggal, dan seumpamanya, yang merupakan naluri yang tersembunyi dalam diri manusia.


3) AL-ISTI’JAL (GOPOH / TERBURU-BURU)

  • Pengertian(bahasa) :- mendesak, minta disegerakan, terburu-buru atau laju.
  • Dalam istilah pendakwah : -keinginan untuk mengubah realiti kehidupan masa kini dalam sekelip mata atau kurang dari sekelip mata tanpa menilai tentang kesan buruk yang akan berlaku disamping tidak memahami suasana persekitaran yang melingkungi mereka.


4) AL-UZLAH (MEMENCILKAN DIRI)

  • Pengertian (bahasa) : - menjauhkan atau menyisihkan. Menurut kamus lisan al arab = meminggir sesuatu atau mengetepikan maka dipinggirkan ia.
  • Istilah pendakwah : -mengutamakan penghidupan secara berseorangan dengan meninggalkan penghidupan secara berjamaah. Cara yang demikian menjadikan seorang amilin merasai sudah cukup untuknya mendirikan Islam dalam dirinya sendiri, tanpa mempedulikan orang lain, sekalipun orang lain menghadapi kebinasaan atau kehilangan, atau seseorang itu cuba menegakkan Islam dalam dirinya sendiri. Kemudian secara berseorangan, ia berusaha sedaya upaya menegakkannya dikalangan orang ramai tanpa meminta pertolongan dan sokongan para amilin lain yang sama-sama berada di medan perjuangan.


5) AL-I’JAB BIL NAFSI (TERPESONA DENGAN DIRI SENDIRI)

  • Pengertian (bahasa) :- Gembira dan berharapan baik -Rasa besar dan membesarkan
  • Istilah :- Suatu kegembiraan degan diri sendiri, hasil dari apa yang dilakukannya sama ada perkataan atau perbuatan tanpa menyinggung orang lain, tanpa mengambil kira perbuatan dan perkataan tadi baik atau buruk, terpuji atau terkeji.


6) AL-GHURUR (TERTIPU DENGAN DIRI SENDIRI)

  • Pengertian (bahasa) :-penipuan sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain - seseorang yang tertipu dengan kebendaan dunia
  • Istilah: -kekaguman seorang amilin dengan diri sendiri sehingga mendorongnya ke tahap menghina dan memperkecil-kecilkan setiap apa yang diusahakan oleh orang lain yang menyerupai apa yang ia sedang lakukan. Sungguhpun demikian, sikapnya itu tidaklah sampai ke tahap memperlekehkan peribadi saingannya atau merendah-rendahkan peribadi mereka.


7) AL-TAKABBUR

  • Pengertian (bahasa) :-menonjolkan kebesaran dan kesombongan -kebesaran dan kesombongan
  • Istilah : -seseorang amil itu menonjolkan kebesaran ke atas dirinya dalam bentuk menghina orang lain dan memperlekehkan kewibawaan mereka.


Sebab-sebab berlakunya wabak ini:

  1. Suasana membesar
  2. Tidak memahami fitrah diri
  3. Berdampingan dengan orang yang salah (sesat, tidak berjiwa besar, tidak berakhlak)
  4. Tidak berpijak di alam nyata (too optimistic)
  5. Semangat yang membara
  6. Runtunan nafsu
  7. Tidak muhasabah diri dengan baik
  8. Tidak memahami ilmu dengan tepat
  9. Terlampau merendah diri
  10. Terlampau yakin dengan diri sendiri.


(DR. AL SYED MUHAMMAD NOH)

01 June 2011

Jihad Wanita yang Utama

0 ulasan
Tajuk Asal : Jihad Seorang Wanita
Penulisan Oleh : Ust. Nasaruddin Al-Tantawi


Kasih antara ibu dan anak~ (sekadar gambar hiasan)


Apabila disebut perkataan ‘jihad’, apakah yang terlintas di dalam fikiran kita? Serta-merta tergambar kesungguhan berkorban yang akan menimbulkan semangat berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir! Semangat ini memang baik dan perlu dipupuk bertepatan dengan ketetapan Islam serta kehendak Allah SWT.

Hakikat Jihad

Definisi jihad menurut syara’ ialah seorang muslim menyerahkan tenaganya untuk mempertahan dan menyebarkan Islam bagi mencapai keredaaan Allah. Dari sini nanti akan terbentuk sebuah masyarakat Islam dan seterusnya akan terbina negara Islam yang sihat. Jihad mesti berterusan hingga ke hari qiamat. Martabat jihad yang paling rendah ialah jihad di dalam hati dan yang paling tinggi ialah berperang di atas jalan Allah. Mengorbankan waktu, harta dan kepentingan diri sendiri demi kebaikan Islam serta ummatnya juga dikira sebagai jihad. Begitu juga dengan menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta memperjelaskan hakikat keEsaaan Allah juga merupakan sebahagian daripada jihad.Jihad

Bagimanakah kedudukan wanita dalam jihad?

Jawapan kepada persoalan ini mesti benar-benar difahami supaya sumbangan kita dalam jihad akan menguntungkan Islam. Oleh itu, kita perlu menyingkap kembali lembaran sejarah Rasulullah SAW untuk mengambil iktibar tentang persoalan jihad bagi kaum wanita.

Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Ath-Thabrani, pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ (wanita yang pintar berpidato) datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?"

Bersabda Rasulullah SAW:
"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi adalah sangat sedikit sekali daripada golongan kamu yang dapat melakukan demikian."
Pada ketika yang lain, Rasulullah SAW pernah ditanya: "Wahai Rasulullah, perempuan manakah yang baik?"
Baginda menjawab:
"Perempuan yang menggembirakan suaminya apabila si suami memandangnya, mentaati suami apabila diperintah dan tidak menyalahi suaminya baik mengenai diri peribadinya, harta kekayaannya atau dengan apa yang dibenci oleh suaminya."
Pada dasarnya, kaum wanita disamakan dengan kaum lelaki dalam tanggungjawab agama sama ada mengenai aqidah, ibadah dan muamalah, kecuali tanggungjawab yang khusus yang sesuai dengan fitrah (nature) kaum wanita. Begitu juga dengan tanggungjawab jihad yang diwajibkan kepada kaum lelaki tidak diwajibkan kepada kaum wanita. Seandainya kaum wanita berupaya pergi bersama-sama kaum lelaki ke medan pertempuran, tidaklah ditolak oleh Islam. Bagaimanapun tugas ini hanya dianggap sebagai sumbangan tambahan.

Kita perlu jelas jihad yang paling utama dan dituntut kepada setiap wanita ialah taat kepada suami dan mengakui hak suami, manakala jihad di luar rumah adalah sumbangan tambahan bagi mereka yang berbuat demikian.

Bagaimanakah pendirian kita?

Kita mesti menyakini bahawa berjihad di barisan hadapan oleh kaum lelaki manakala jihad kaum wanita sebagai tulang belakang adalah ketetapan Allah SWT yang Maha Adil, semata-mata demi kemakmuran alam ini. Kita perlu memahami firman Allah yang bermaksud:
"Dan orang lelaki dan perempuan (yang beriman) sebahagian mereka (adalah) penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar." (At-Taubah : 71) 
"Dan tidak sepatutnya bagi lelaki yang mukmin dan wanita yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menentukan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguh-nya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata." (Al-Ahzab : 36)
Sekarang sudah tiba masanya untuk kaum wanita menanamkan azam dan mengumpulkan kekuatan bagi menumpukan diri melaksanakan sepenuhnya jihad sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Tingkat kekuatan yang utama ialah kekuatan iman. Iman yang kuat dapat mengekang hawa nafsu yang sentiasa mengganas serta melemahkan keazaman. Dengan ini, barulah jihad yang ingin kita laksanakan menjadi kenyataaan.

Firman Allah:
"Adapun yang rasa takut maqam Tuhannya, mencegah diri daripada menurut hawa nafsu syurgalah tempat kembalinya." (An-Nazi’at : 40-41) 
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan (begitu sahaja) sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil wali (teman rapat) yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (At-Taubah : 16)


Sudut-sudut jihad wanita:





  1. Menjadikan rumahtangga tempat yang bahagia untuk keluarga berkumpul.
  2. Mewujudkan suasana Islam dalam proses pendidikan dan pembesaran anak-anak.
  3. Menyempurnakan segala urusan rumah tangga menurut syara’ dengan penuh keikhlasan agar beroleh keberkatan.
  4. Mengajak kaum wanita lain memahami prinsip-prinsip Islam dan cara hidup yang Allah tetapkan.
  5. Memerangi perkara-perkara bid’ah, khurafat serta pemikiran yg salah dan adab-adab buruk yang mengusai wanita masa kini.
  6. Menyertai rancangan kemasyarakatan yang berfaaedah untuk umat manusia amnya, seperti tadika, menjaga anak-anak yatim, kelab pemudi, sekolah-sekolah dan bantuan untuk keluarga miskin.

Sebagai kesimpulan, sekali lagi perlu dijelaskan dalam diri kita bahawa jihad yang utama bagi wanita adalah wajib bagi semua muslimah dalam batas kemampuan yang telah Allah kurniakan. Manakala jihad tambahan yang Allah anugerahkan bersama keistimewaan tertentu tidak boleh membatalkan jihad yang utama. Jihad utama mesti dilaksanakan dahulu.

~ Sekian, Wallahu-a'lam ~

06 April 2011

TEMUDUGA TERBUKA : Sebagai Calon Jenazah

0 ulasan




Perkongsian dari rakan-rakan :

TEMUDUGA TERBUKA : SEBAGAI CALON JENAZAH

SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN!!!!!

1) KEKOSONGAN JAWATAN:

  • A. Ahli Syurga Dari Awal.
  • B. Ahli Neraka Dari Awal.
  • C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

2) EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):

  1. Nikmat kubur.
  2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
  3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
  4. Syurga yang kekal abadi.

3) TARIKH TEMUDUGA:

  • Bila-bila masa secara 'adhoc' bermula dari saat membaca iklan ini.

4) LOKASI TEMUDUGA:

  • Di dalam kubur (alam barzakh).

5) KELAYAKAN:

  • Anda tidak perlu bawa siji-sijil,termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
  • Anda tidak perlu bawa pingat , Mercedes mata belalang atau kad kredit.
  • Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
  • Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
  • Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

6) PANEL/PENEMUDUGA:

  • Malaikat Mungkar dan Nakir.

7) ENAM SOALAN BOCOR:

  1. Siapa Tuhan anda?
  2. Apa Agama anda?
  3. Siapa Nabi anda?
  4. Apa Kitab anda?
  5. Di mana Kiblat anda?
  6. Siapa Saudara anda?

8) CARA MEMOHON:

  • Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.
  • Ia diberi nama Izrail.

9) TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

  • Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:
    • Sabda Rasulullah S.A.W:
    • Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, jenazah itu akan mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekahjariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya. 
    • Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : "Dari arasku tidak ada jalan masuk". Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya : "Dari arasku tidak ada jalan masuk". Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : "Dari arasku tidak ada jalan masuk". Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : "Di bahagianku tidak ada jalan masuk". 
    • Maka malaikat berkata kepadanya : "Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam", lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : "Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya?" Maka berkata mayat itu : Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang". Maka berkata malaikat : "Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepada nya?" Maka berkata mayat itu: "Laki-laki itu ialah Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala". 
    • Maka malaikat berkata kepada mayat itu : "Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah". Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".

Sila war-warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat

Wallahu-a'lam. Semoga berjaya dalam temuduga ini.

05 March 2011

UBAT HATI (5/11/10)

0 ulasan
PANEL : UST. HASLIN BAHARIM & UST. SHARHAN SHAFIE

~Kurangkan manis dalam makanan / minuman, tambahkan manis dalam senyuman~ :)

[mari merawat hati : sumber en.google]

1. Ust. Haslin ;
- Apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai maksud Taqwa, baginda menjawab; "At-taqwa ha huna" (Taqwa itu di sini > sambil menunjuk pada dada sebanyak 3x)
- bila dalaman baik, InsyaAllah luaran pun baik
- tidak cantik iman seorang hamba selagi belum cantik seluruh tutur katanya
- Iman & malu selalu bersama, jika salah satunya dicabut, maka hilanglah bahagian satu lagi
- orang yang tidak beriman boleh dikatakan orang yang tidak 'malu'

2. Ust. Sharhan
- Al-Qur'an telah mengajar kita cara mengubati sakit spiritual
- penyakit hati tidak dapat diubat oleh doktor, hanya dapat dari Qur'an
- Penyakit sudah wujud sejak zaman habil & qabil
- ayat berikut boleh dibaca untuk melembutkan hati & menghindari dengki:




"Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua." ~Surah Al-Isra', Ayat 82~

SESI SOAL JAWAB

1. Q: Bolehkah merawat ketagihan arak / benda haram dengan rawatan islam?
[Ust Sharhan]
- resipi untuk mengubati sebarang ketagihan :
a) Amalkan minum madu lebah asli, sebelum minum baca Al-Fatihah & Selawat..

ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِّلنَّاسِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
"Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir." ~Surah An-Nahl, Ayat 69~
b) Lakukan solat hajat, niat nak buang ketagihan tersebut, bacaan surah pada rakaat 1 selepas Al-Fatihah : ayat kursi, untuk Rakaat 2 : Surah An-Nahl Ayat 69 (ayat diatas)

2. Q: bagaimana pula ada orang yang tidak mengalami kesan buruk apabila tetap buat yang haram?
[Ust Haslin]
- dasar taqwa ; amar makruf nahi mungkar
- keadaan itu berlaku kerana 'Istidraj' (ujian dalam bentuk nikmat dalam keadaan tidak diredhai Allah, di mana ia semakin jauh dari Allah, semakin tidak bersyukur)- petanda Allah mula benci kita
- kita takkan masuk syurga senang-senang

3. Q: makanan haram akan menyebabkan hati gelap.. tetapi bagaimana jika kita tidak sedar sesuatu makanan itu haram?
- Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa:”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! “. Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya. (Riwayat Muslim)

4.Q: penyakit hati daripada zina?
[Ust Sharhan]
- setiap insan pernah melakukan dosa
- ayat untuk menundukkan nafsu:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan." ~Surah Al-Hasyr, Ayat 18~

5. Q: Apakah punca penyakit hati?
[Ust Haslin]
- punca : jauh dari mengingati Allah, hati dibiarkan kosong & apabila hati kosong, ia mudah diisi dengan hasutan syaitan
- penyelesaian : perbanyakkan membaca (+ hayati) Al-Qur'an, menghadiri majlis ilmu

6. Q: Apa kaitan makanan dengan jin?
[Ust Sharhan]
- ramai yang kena santau
- tanda pada makanan yang diletakkan santau : jumpa rambut pada makanan (yang kelihatan seperti diletak secara sengaja)
- tanda kena santau: batuk berlarutan, kulit pecah, mata tiba-tiba menjadi rabun, nafas berbau, berdebar tanpa sebab, penyakit kulit / barah
- untuk cek pada air (sambil memegang gelas dengan jari kelingking pada bawah gelas):
بِسْمِ اللهِ الٌّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ , وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيم
(Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)

*Jika ada rasa digigit semut bermakna air itu telah disantau

7. Q: Apa kaitan makanan dalam akhlak?
[Ust Haslin]
- cari makanan yang betul-betul halal (disahkan JAKIM & tidak diragui kandungannya)
- harta yang jelas halal tetapi tidak di'infaq' pun tidak boleh dipakai juga
- hasil haram tetapi belanjakan / sedekahkan pada jalan halal pun tidak boleh
- anak (peringkat bayi) perlu diberi susu ibu, bukan susu lembu

PENUTUP

- Allah bekalkan semua hidupan untuk kegunaan kita
- ucapkan Alhamdulillah.. kesembuhan itu datang dari Allah jua

~Sekian, Wallahu-A'lam~

15 January 2011

Nikmat Dunia & 2 Golongan

0 ulasan
DUA GOLONGAN MANUSIA TERIMA NIKMAT DUNIA CARA BERBEZA

Oleh Zamanuddin Jusoh


MENILAI kehidupan dunia ini, Rasulullah SAW menyifatkan ia sebagai ladang hijau penuh dengan keindahan. Pada masa sama, Baginda mengingatkan mengenai bahaya fitnah serta ujian terbentang di padang menghijau itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya dunia ini umpama taman hijau yang indah. Penuh dengan nikmat dan keindahan dan Allah menciptakannya untuk kamu. Oleh itu pastikan segala nikmat ini digunakan dengan sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat Muslim dan Nasai’)
Imam Masjidil Haram, Syeikh Usama Bin Abdullah Al-Khayyat yang membicarakan mengenai keindahan dunia, isinya serta paparan ayat al-Quran dan hadis dalam khutbahnya mengingatkan supaya berhati-hati mengejar kemewahan sementara. Katanya, tidak dapat dinafikan, setiap kenikmatan dunia akan menarik semua jiwa untuk mendekatinya. Sudah pasti setiap jiwa akan gembira apabila mengecapi nikmat dunia. Namun, ada dua golongan yang menerima nikmat ini dengan cara berbeza.

GOLONGAN PERTAMA

Mereka yang bijak (Ulul Al-Bab) yang mendapat petunjuk Allah SWT berjalan atas landasan sebenar. Mereka sentiasa berwaspada dengan nikmat sementara ini kerana yakin dengan nikmat syurga yang kekal selamanya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya bagi mereka yang beramal soleh di dunia, kami tidak akan mensia-siakan mereka. Kelak mereka menjadi penghuni syurga yang mengalir di bawahnya sungai di samping perhiasan emas dan pakaian hijau dari sutera halus dalam keadaan bersandar atas singgahsana indah. Itulah sebaik-baik tempat berehat.” (Surah Al-Kahfi, Ayat 30-31)
Rasulullah SAW menyifatkan ahli syurga dalam sabdanya yang bermaksud:
“Apabila seseorang dimasukkan ke syurga, dia akan mendengar seruan silakanlah, bagi kamu kesihatan buat selama-lamanya tanpa sakit sedikitpun, hiduplah kamu di sini tanpa merasai kematian buat selamanya. Rasailah nikmat yang sebenar tanpa kamu berputus asa.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)
Golongan yang mendapat nikmat ini sentiasa menjaga kewajipan dengan sempurna dan menambah ibadat sunat serta melakukan perkara berfaedah semasa hidup. Mereka sedar akan kesuntukan masa ketika di dunia dan ganjaran akhirat yang akan dituai.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengharapkan hasil tuaian di akhirat, maka kami akan terus menggandakannya.” (Surah Syura, Ayat 20)
Mereka tidak sekali-kali meninggalkan nikmat dunia seperti dianjurkan Lokman Al-Hakim kepada anaknya melalui firman Allah yang bermaksud:
“Tuntutlah apa yang disediakan Allah untuk kamu di akhirat, dan janganlah kamu lupa bahagian kamu di dunia dan berlaku baiklah kepada mereka yang berbaik padamu.” (Surah Al-Qasas, Ayat 77)
GOLONGAN KEDUA

Golongan kedua, yang hatinya lalai mengingati Allah lantaran mengikut hawa nafsu melampau. Mereka terus mengecapi nikmat tanpa menghiraukan batas larangan Allah dan menjadikan matlamat hidup hanyalah dunia semata-mata.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengharapkan kehidupan dunia semata-mata, maka kami akan segerakan bagi mereka dunia itu. Kemudian kami sediakan tempat mereka di neraka dalam keadaan tercela dan terusir.” (Surah Al-Isra’, ayat 18)
---------------------------

Marilah bersama memastikan kita tergolong kalangan disebut Ulul-Albab yang terus mendapat dorongan hidayah Allah tanpa sedikitpun terpengaruh dengan godaan kehidupan dunia semata-mata.

Firman Allah yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan gurauan, berbangga dengan perhiasan, kekayaan dan keturunan seperti hujan yang mana tanamannya mengagumkan petani. Kemudian tanaman itu menjadi kering lalu hancur. Di akhirat nanti ada azab yang keras dan keampunan darinya juga. Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan yang palsu.” (Surah Al Hadid, Ayat 20)

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

*sumber : ruang agama Berita Harian Online (14/1/11)